Dr Aafia Siddiqui  
Dr Aafia Siddiqui
DR Aafia Siddiqui, ibu kepada tiga anak dari Pakistan ini diculik dan diseksa di penjara Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Bagram selama beberapa tahun sebelum dipindahkan secara rahsia ke Amerika Syarikat (AS).

Ahli neurologi tersebut menjadi mangsa ketidakadilan AS selepas dijatuhi hukuman penjara 86 tahun pada 2010. Kes terhadap Dr Aafia Siddiqui dipalsukan oleh rejim bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Hukuman ke atasnya dirancang Mossad dan turut dibantu rejim bekas Presiden Pakistan Pervez Musharraf.

Kehidupan Awal Dr Aafia Siddiqui dilahirkan pada 2 Mac 1972 di Karachi, Pakistan merupakananak bongsu daripada tiga adik beradik kepada pasangan Mohammad Siddiqui dan Ismet.

Beliau berpindah ke Texas sebelum melanjutkan pengajian ke Institut Teknologi Massachusetts (MIT) pada 1990. Ketika di MIT, Aafia menyertai Persatuan Pelajar Muslim (MSA) dan turut bergiat aktif dalam program memberi penjelasan mengenai keindahan agama Islam kepada penuntut bukan Islam serta memperoleh pencapaian akademik yang cemerlang.

Selepas tamat pengajian pada 1995, Aafia mengahwini pelajar perubatan, Mohammed Amjad Khan dan menyambung pengajian di Universiti Brandeis dalam bidang neurosains kognitif.

Akibat daripada kesukaran bagi orang Islam untuk terus tinggal di AS selepas insiden 9/11 menyebabkan Aafia dan suaminya memutuskan untuk kembali semula ke Pakistan.

Bagaimanapun, Aafia dan suaminya bercerai ketika beliau sedang hamil anak ketiga yang ketika itu kandungannya mencecah lapan bulan.

Pada Disember 2002, Aafia kembali semula ke AS tanpa membawa anakanaknya untuk mencari pekerjaan di kawasan Baltimore.

Tidak lama selepas itu beliau bersama anaknya dilaporkan hilang selepas pihak berkuasa Pakistan menahan dalang serangan 9/11, Khalid Sheikh Mohammed.


Misteri kehilangan

Menurut ibu Aafia, wanita itu hilang tanpa khabar berita selepas meninggalkan rumah dengan menaiki teksi Metro pada 28 Mac 2003 untuk ke lapangan terbang.

Ketika berita kehilangannya dilaporkan, Kementerian Dalam Negeri Pakistan membuat pengesahan berhubung penahanan seorang wanita yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan.

Media turut melaporkan, Aafia diberkas agensi risikan di Karachi dan dihantar ke lokasi rahsia untuk disoal siasat.

Setahun selepas itu, jurucakap telah diserahkan kepada pihak berkuasa AS tanpa alasan kukuh.

Aafia dilaporkan hilang lebih setahun selepas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memuat naik gambarnya dalam laman rasmi mereka kononnya sebagai cara untuk mengaburi mata masyarakat.

Bagaimanapun, pada Februari 2010, anak sulung Aafia yang dibebaskan daripada tahanan pihak berkuasa tampil membuat pendedahan bagaimana dia bersama ibu dan adiknya ditahan kira-kira 15 hingga 20 orang menaiki empat kenderaan yang kemudiannya bertindak menculik mereka.

Ditahan selama lima tahun Aafia mendakwa beliau bersama anaknya diculik perkhidmatan risikan Pakistan sebelum dipindahkan ke pusat tahanan AS.

Wanita itu ditahan di beberapa lokasi rahsia selama lima tahun dan Aafia didera serta turut dirogol dengan kejam ketika beliau dipenjarakan di Bagram sebagai banduan 650.

Ketika itu, Aafia terpaksa menanggung derita kerana menjadi mangsa penderaan mental dan fizikal selama beberapa tahun.

Pada 4 Ogos 2008, pendakwa raya persekutuan AS mengesahkan Aafia dihantar ke AS dari Afghanistan.

Perbicaraan berat sebelah

Perbicaraan ke atas Aafia berlangsung pada 19 Januari 2010 di Mahkamah Persekutuan Manhattan.

Beliau didakwa merancang melancarkan serangan ke atas Empire State, Brooklyn Bridge dan Wall Street serta cuba untuk menyerang pihak berkuasa AS.

Difahamkan, sepanjang dua minggu perbicaraan berlangsung, kebanyakan saksi dilaporkan turut memberi keterangan bercanggah hingga menyebabkan kes tersebut menjadi semakin rumit.

Pada 3 Februari, Aafia didapati bersalah di atas semua pertuduhan walaupun tiada bukti kukuh dan beliau ditahan sekali lagi di Pusat Tahanan Metropolitan di New York.

Pada April 2010, anak perempuan Aafia, Maryam dipulangkan semula kepada rumah keluarganya di Karachi oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Ketika dalam satu sidang media, Senator Talha Mehmood memaklumkan, Maryam Siddiqui ditemui di pangkalan tentera udara Bagram.

Menurutnya, budak malang itu dikurung tanpa perikemanusiaan dalam sebuah bilik gelap selama tujuh tahun.

Selepas beberapa kali perbicaraan ditangguhkan, Aafia akhirnya dijatuhi hukuman penjara 86 tahun selepas disabit bersalah di atas lima pertuduhan pada 23 September 2010.

Trivia

Aafia memiliki 144 sijil dan ijazah kepujian dalam bidang neurologi dari pelbagai institut pengajian tinggi di seluruh dunia.

Merupakan satu-satunya ahli neurologi di dunia yang dianugerahkan Doktor Falsafah oleh Universiti Harvard.

Enam bulan selepas bercerai, Aafia didakwa mengahwini Ammar al-Baluchi, sepupu kepada Khalid Sheikh Mohammed tetapi laporan itu dinafikan keluarganya.

- Beliau adalah Hafizah al-Quran. Kini dilaporkan hilang ingatan akibat penderaan fizikal, seksual dan psikologi ke atasnya. Ditahan dalam kurungan seorang diri di Penjara Carswell di Texas.

- Digelar Daughter of Nation.

- Pergerakan Aafia ditubuhkan ketika ulang tahun ke-10 insiden penculikan beliau bersama tiga anaknya pada akhir Mac lalu.

- Kehilangan anak bongsu Aafia, Suleman masih menjadi tanda tanya hingga kini.