Sabtu, 23 Februari 2013

Susun Galur Kesultanan Sulu. (Bhg 4)

Satu Pendedahan Maklumat Tentang Waris Raja Kedua Yang Tidak Diketahui Dunia Sebelum Ini.BERDASARKAN sejarah Kesultanan Sulu sama ada yang tercatat dalam tulisan-tulisan Najeeb Saleeby, Nicholas Tarling, Prof. Cesar, terdapat nama Maharaja Adinda yang dipanggil ‘Pewaris Takhta ke-2’. Prof. Cesar menyebut “Selain daripada Raja Muda dan Maharaja Adinda (Waris Raja Kedua),...” [1] dengan jelas menyebut nama Maharaja Adinda dan dalam kurungan Waris raja kedua.

Yang dimaksudkan ialah Maharaja Adinda Muhammad Adanan (Aranan) Puyo. Sebab itu cucu-cicit keluarga ini menisbahkan nama keluarga mereka dengan Aranan. Aranan Puyo itu masih diiktiraf oleh ahli sejarah sebagai pewaris takhta kedua seperti yang tertera dalam bendera Sulu itu. Gelaran Maharaja Adinda juga adalah panggilan kepada Sultan Bantilan Muizzuddin iaitu adinda kepada Sultan Azimuddin @ Alimuddin-1.

Cicit Maharaja Adinda Sultan Bantilan Muizzuddin ini juga turut digelar Maharaja Adinda iaitu Sultan Muhammad Adanan (Aranan) Puyo.  Ahli sejarah turut menggelar mereka (Maharaja Adinda) sebagai pewaris takhta kedua dan perkara ini tertera dalam Protokol Sulu atau Tartib Diraja Sulu.[2]

Beberapa pihak menghubungi kami menjelaskan tentang kepalsuan penuntut takhta dari Keluarga Aranan itu. Kami tidak membantah bangkangan mereka tapi kami menyoal beberapa perkara kepada pembangkang ini dan malangnya mereka sendiri tidak dapat menjelaskan secara fakta kepada soalan kami. Kami ingin menyatakan disini bahawa kami bukannya penyokong fanatik Keluarga Maharaja Adinda ini kerana sekiranya ada sesiapa yang tahu dan punya bukti secara fakta tentang hal-hal Kesultanan Sulu ini kami bersedia menerimanya dengan tangan dan hati terbuka. Sekiranya ada pihak yang membawa maklumat tambahan atau pembetulan, kami berterima kasih kerana inilah yang kami inginkan.
.
Sebelum kami senaraikan Salasilah Keluarga Maharaja Adinda ini kami ingin menjelaskan satu perkara. Bahawasanya nasab kesemua Sultan-sultan Sulu yang ada pada hari ini sama ada dari Keluarga Kiram, Shakiraullah ataupun Aranan bukanlah dari susur galur Sultan Syariful Hashim @ Sayyid Abu Bakar, sebenarnya adalah dari keturunan Sultan Syarif Ali Barakat (Sultan Brunei yang ke-III). Keturunan Sultan Sulu yang pertama telah terputus nasabnya setelah beberapa generasi.
.
Nasab yang bersambung dengan kesultanan Sulu dengan kesultanan Brunei ialah melalui perempuan.[3] Islam mengira nasab keturunan pewarisan melalui bapa atau anak lelaki. Walaupun wanita dikira keturunan juga tetapi bukan pewarisan. Sebab itu takhta kesultanan Sulu diwarisi dari keluarga sebelah lelaki sahaja. Maka kita akan melihat susunan atau heirarki kesultanan Sulu Maharaja Adinda Aranan ini dimulai dari Sultan Brunei Syarif Ali Barakat.
_____________________________________________
Fasa 1 (Kesultanan Brunei)

1. SULTAN SHARIF ALI [4] (Barakat Ali - Sultan Brunei yang ke-III - keturunan Sayyidina Hassan r.a.)
Menaiki takhta pada 1425 hingga 1432.
Baginda berasal dari Makkah yang sebelumnya menjadi penguasa Makkah.
Melarikan diri dari perebutan kuasa politik antara syarif-syarif Makkah ke Nusantara.
Baginda juga adalah seorang ulamak dan datang ke Brunei bersama misi dakwah.

2. SULTAN SULAIMAN (Sultan Brunei ke-IV)
Menaiki takhta pada 1432 hingga 1485.

3. SULTAN BOLKIAH @ NAKHODA RAGAM (Sultan Brunei ke-V)
Menaiki takhta pada 1485 hingga 1524.

4. SULTAN ABDUL KAHAR (Sultan Brunei ke-VI)
Menaiki takhta pada 1524 hingga 1533.

5. SULTAN SAIFUL RIZAL (Sultan Brunei ke-VII)
Menaiki takhta pada 1533 hingga 1581.

6. SULTAN HASSAN (Sultan Brunei ke-XI)
Menaiki takhta pada 1600 hingga 1617.
Ayahanda kepada (1)-Sultan Jalilul Akbar (Sultan Brunei), (2)-Sultan Muhammad Ali (Sultan Brunei), (3)-Sultan Tengah @ Sultan Omar Shah (Sultan Sarawak) Baginda ini telah dihantar menjadi Sultan di Sarawak (Di suatu kawasan bernama Tanjung Datu). Namun baginda ini telah dibunuh oleh salah seorang pengikut baginda di suatu kawasan yang dipanggil Sukadana.

Putera Sulung baginda yang bernama RADIN SULAIMAN ibni Sultan Tengah, telah ditabalkan menjadi Sultan di Sambas, bergelar SULTAN SAIFUDDIN-I. Maka dari keturunan Sultan Saifuddin-I ibni Sultan Tengah ibni Sultan Muhammad Hassan inilah susur-galur Keluarga Diraja Sambas kini, (4)-Puteri (Berkahwin dengan Sultan Ahmad - Sultan Pahang -XI) dan anak ke (5)- Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu-1 (Sultan Sulu).

Beliaulah yang mempusakakan “Pulau-Janggi” (Sepong Janggi) kepada Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu-1 (Sultan Sulu) sebagai tanda atau lambang Keluarga Diraja Brunei. Pulau Janggi dipusakakan secara amanah kepada keluarga Maharaja Adinda Aranan (waris raja ke-2) dan pada 1978 ayahanda YM Datu Ali Aman iaitu YM Datu Aliuddin Haddis Pabila telah menyerahkannya kepada Muzium Sejarah Brunei dengan bantuan Pehin Prof. Dato Hj Awang Mohd Jamil Al-Sufri (Pengetua Pusat Sejarah Kesultanan Brunei). Pehin Prof. Jamil Al-Sufri dengan jawatankuasanya mengesahkan keaslian “Pulau Janggi” itu.
_____________________________________________


Fasa 2 (Kesultanan Sulu)

7. SULTAN MAWALLIL WASIT @ Raja Bongsu-I (Pangeran Maharajalela / Brunei)
Menaiki takhta pada 1610 hingga 1650

8. SULTAN SALAHUDDIN KARAMAT @ PANGERAN BAKHTIAR

Menaiki takhta pada 1649/50 hingga 1680.

9. SULTAN BADARUDDIN-I @ Sultan Dungun

Menaiki takhta pada 1718 hingga 1732.
_____________________________________________

Fasa 3 (Maharaja Adinda Waris Kedua)

10. SULTAN BANTILAN MUEZZUDDIN

Menaiki takhta pada 1748 hingga 1763.
Beliau Juga digelar sebagai Maharaja Adinda (waris ke-2) iaitu adinda kepada Sultan Azimuddin @ Alimuddin-1 (Waris pertama).
Baginda menaiki takhta selepas Kekandanya (Sultan Azimuddin/Alimuddin-I) meninggalkan Jolo ke Zamboanga dan terus ke Manila pada sekitar tahun 1748.
Bermulanya bendera Sulu dengan berlambangkan keris dan tombak iaitu dua warisan.

11. SULTAN AZIMUDDIN @ ALIMUDDIN-II
Menaiki takhta dua kali.
Pertama pada 1763 hingga 1764.
Kedua pada 1778 hingga 1791.


12. PADUKA RAJA MUDA DATU BANTILAN @ Sultan Parang

Sepatutnya mengikut Protokol beliau menaiki takhta pada 1808 tapi takhta telah diambil gilirannya oleh Sultan Aliuddin.
Beliau telah berusaha mengambil semula hak giliran mereka sebagai pewaris ke-2 Kesultanan Sulu tapi gagal.

13. SULTAN MUHAMMAD ARANAN (ADANAN) PUYO

Beliau juga dikenali sebagai Maharaja Adinda Aranan (Adanan) Puyo sebelum jadi sultan.
Menaiki takhta secara rasmi pada 25hb September 1862.

Baginda dilahirkan pada 1791 dan wafat pada 1921. Beliau punya umur yang panjang sehingga mencecah umur 130 tahun.

Menaiki takhta hanya selama seminggu sebelum menyerahkan semula takhta kepada pewaris pertama dengan alasan sudah tua pada 1862.

Walaupun hanya seminggu menaiki takhta namun nilainya sangat besar disebabkan menaiki takhta seminggu adalah dikira sebagai mengesahkan sahaja protokol penggiliran takhta tersebut. Sekurang-kurangnya dapat menghilangkan ke-raguan keluarga Maharaja Adinda (pewaris kedua) dan para datu-datu terhadap protokol Sulu itu masih dipatuhi oleh pewaris pertama (walhal mereka tetap bersabar dengan kerenah keluarga Kiram & Shakiraullah).

Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo. Bersahabat dengan agen British yang berusaha membantunya menjadi Sultan Sulu lebih awal iaitu pada 1814, di masa Sir John Hunt (Seorang egen British) berada di Sulu.[5]

Ini bermakna baginda telah dikenali sebagai pewaris takhta Kesultanan Sulu lebih awal pada 1814 dan telah menaiki takhta secara rasmi pada 1862 (ketika ini baginda sudah tua).[6]
___________________________________________

Fasa 4 (Keluarga Maharaja Adinda Aranan)

SULTAN MUHAMMAD ARANAN PUYO ( Tiga orang Isteri)
Isteri Pertama: SITTI - Mempunyai seorang anak bernama YM Datu Halun (Harun).
Isteri Kedua: SHARIFAH - Tiada Zuriat.
Isteri Ketiga: ZALEHA @ ALING - anak-anaknya 1-Dayang Taung, 2-Dayang Indung, 3-Dayang Harijah, 4-Dayang Maliha @ Maling, 5-Datu Amirul, 6-Datu Muhammad Sheikh, 7-Datu Laja (RAJA).

Isteri Pertama: SITTI
Anaknya Datu Halun (Harun): Melahirkan 1-Dayang Nasirin, 2-Dayang Tabi Tabi, 3- YM Datu Makmun.

Datu Makmun melahirkan enam orang anak. Salah seorang ialah YM Datu Muhammad Ali Kuyung (SANDAKAN, Sabah).
Isteri Ketiga: ZALEHA @ ALING

Anak kelima iaitu YM Datu Amirul melahirkan: Dayang Jubairah, Datu Amir Bahar, Dayang Kalamita.
Datu Amir Bahar melahirkan lima orang anak antaranya YM Datu Umrah (KELANG, Selangor).
Anak keenam iaitu Datu Muhammad Sheikh (tiga isteri), isteri pertama melahirkan: YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila, 2-YM Datu Wasik, 3-YM Datu Atik.

YM Datu Aliuddin Haddis Pabila (tiga isteri) isteri kedua melahirkan 5 orang anak, antaranya YM Datu Ali Aman @ Raja Bongsu-II (pengkaji utama salsilah kesultanan Sulu)-(KUALA LUMPUR)

YM Datu Wasik (dua isteri) isteri kedua melahirkan lima anak, antaranya YM Datu Uda @ Lajamura @ Raja Muda (penggerak utama di akar umbi dalam Biro Penerangan Keluarga Aranan) - (LAHAD DATU, Sabah).

Demikianlah tamatnya salasilah ringkas Keluarga Maharaja Adinda Aranan itu. Kita dapat melihat dengan jelas kedudukan para datu-datu yang aktif berjuang dalam mengembalikan semula pemerintahan beraja di Sulu itu seperti YM Datu Ali Aman dan YM Datu Uda @ Lajamura serta YM Datu Muhammad Ali Kuyung dan turut disokong oleh keseluruhan Keluarga Aranan yang lain. Ada antara mereka adalah warganegara Malaysia. Kini mereka kesemuanya (keluarga Aranan) bertaburan di seluruh Malaysia termasuk di Sulu sendiri.

Nota kaki:

1] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 485 (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988)

[2] Ibid, m.s. xvii – Lihat Allahyarham Datu Sangkula Amir Husain dari Dungun (mempunyai Tartib Diraja Sulu dan menjelaskannya). Lihat m.s. 552 – Haji Buto mempunyai kitab salinan Tartib Diraja Sulu. Dipercayai waris keluarga Haji Buto masih menyimpan kitab Tartib ini di Tawi-Tawi.

[3] Rujuk: Carta Salsilah Kesultanan Sulu susunan YM Datu Ali Aman @ Raja Bongsu-II – Susunan Perwarisan Kesultanan Sulu sejak dahulu adalah dari kaum lelaki diturun-kan kepada anak atau cucu lelaki untuk pewarisan takhta. Walaubagaimana pun dalam masa tertentu terdapat Sultanah (Pangyan) sebagai pemerintah sementara.

[4] Rujuk: Tarsilah Brunei I & II – Oleh Pehin Prof. Hj Mohd Jamil Al-Sufri.

[5] Prof. Cesar, Op. Cit., m.s. 391.

[6] Ibid, m.s. 421.

3 ulasan:

  1. Hebat lah tuan dpt kajian dari tahun 1423 nu. Research yg bagus. Credit la utk tuan. Cuma mndatangkn tnda tanya, knapa sekarang? Knapa x dari tahun 70,80,90 dulu mereka buat demikian. Dan knpa perlu mereka perlu mggunakn cara merampas? Knapa tidak mggunakn cara yg betul. Tak salah rasenya kalau mereka dtg dgn baik, brbincang dan brcerita mngenai salasilah ni, dan memohon utk mnjadi warga Malaysia dgn cara baik dgn brkongsi kemakmuran Malaysia dibwh pimpinan ketua negara sekarang? Terbukti Malaysia tdk prnah mghalang mana2 masyarakat luar utk mnetap disini, asalkn dgn cara yg betul dan mngikut undang2. Seperti contoh rakyat myanmar, kemboja, indon, bangladesh, checnya (skrg republik cech), malah dari benua afrika pn ada. Knapa perlu nk rampas? Sesama islam plak tu. Timbul prsoalan la kat situ? Siap dgn prancangan rapi nk tumbangkan Malaysia plak ni. Dengan mndaratkn tentera dan mmbina kubu utama kat lahad datu.

    Nota tapak kaki:
    Nak mintak en siarkan jugak susur halur sultan2 melayu yg ada di Malaysia plak bleh? Nk tau gak ilmu yg menarik ni. Sbb sy prnah dgr org2 tua kata ada sultan2 melayu ni brketurunan lanun laut....tq.

    Peace love n harmoni.

    BalasPadam
  2. Asalamualaikum. Saya ingin mengetahui susur galur SHARIFAH PENGIRAN DAYANG BANDANG IBNI AL-MARHUM SULTAN ISRAEL II. SUAMINYA BERNAMA SHARIF PENGIRAN DATU MUHAMMAD AL-BALU-TI @ DATU BALU IBNI AL-MARHUM SULTAN ALIUD-DIN II DAN ANAKNYA IALAH; 1. Datu Ali @ MangALIs dan Ke2. Datu Muhammad Salleh @ Datu Paduka Mat Salleh Pahlawan Sabah!

    BalasPadam
  3. Sekian dan wassalam.
    Yang ikhlas,
    DATU BASRI M. ATAL
    Mobile: +60 13 898 9998
    E-Mail: datubasri@yahoo.com.

    BalasPadam

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.