Jumaat, 22 Februari 2013

Susun Galur Kesultanan Sulu. (Bhg 3)

Komen & Kritik :

Inilah senarai Sultan-sultan Sulu sehingga hari ini. Selepas Sultan Jamalul Kiram-II yang mangkat pada 1936 yang sememangnya tercatat dalam sejarah sebagai "tiada zuriat" tiba-tiba muncul Julaspi Kiram sebagai waris penyambung Sultan Jamalul Kiram-II karana Julaspi mendakwa adalah anak sultan terakhir. Tidak lama kemudian anak Julaspi Kiram iaitu Rodinood kiram pula tiba-tiba muncul dengan menabalkan dirinya sebagai Sultan Sulu di Manila. Walaubagaimana pun setelah diteliti oleh para datu yang mahir dengan sejarah dan Salsilah Sulu, didapati Julaspi Kiram ayah kepada Roodinood Kiram itu sebenarnya adalah anak angkat Sultan Jamalul Kiram II. Didapati juga segala sultan-sultan yang muncul selepas Sultan yang ke-32 iaitu Sultan Jamalul Kiram-II tidak layak lagi menjadi atau mengangkat diri mereka sebagai Sultan Sulu. Kerana Keluarga Kiram telah pun kehilangan hak sejak awal-awal lagi dengan melanggar protokol Diraja Sulu (Tartib Diraja Sulu) iaitu penggiliran takhta antara "Keris dan Tombak" seperti yang tertera dalam bendera Sulu yang memang wujud sejak kurun ke-17 itu.

Walaupun mereka masih diberi peluang oleh Allah s.w.t menjadi Sultan tetapi sekali lagi mereka (keluarga Kiram) melakukan kesilapan besar sebagai pemegang amanah kesultanan Sulu dengan memajakkan wilayah-wilayahnya (bukanlah miliknya secara peribadi melainkan adalah milik rakyat) tanpa mendapat persetujuan dari "Rumah Bicara" atau dari kerabat diraja Sulu yang lain. Sebenarnya kalau diimbau kembali sejarah mengapa wujud bendera kesultanan Sulu yang punya lambang Keris dan Tombak itu adalah kerana hasil pertengkaran adik beradik yang hampir berbunuhan disebabkan adik yang seorang itu tidak bersetuju dengan tindakan abangnya (Sultan) yang tunduk kepada kemahuan Spanyol. Apabila si abang (sultan) pergi juga ke Manila untuk di baptiskan di gereja untuk menganut kristian adik mengambil alih kuasa dan enggan tunduk kepada kemahuan Spanyol untuk masuk ke Sulu. Dan inilah sejarah bendera Sulu itu sebenarnya.

Kiram seolah-olah sudah terlalu lemah dan tiada upaya. Munculnya penyamar Sultan seperti Julaspi dan anaknya Roodinood Kiram itu pun tidak dapat mereka halang. Akhirnya yang menghalang ialah Filipina sendiri dengan mengurangkan seminimum mungkin kuasa-kuasa Sultan kemudiannya. Bagaimana Filipina mengiktiraf waris-waris Sultan Jamalul Kiram-II sebagai pengganti sultan sedangkan "Rumah Bicara" di Sulu sendiri enggan mengiktirafnya, disebabkan waris Sultan Sulu tersebut (yang mahu merebut takhta) majoritinya adalah wanita.[11]

Sebab itu kita melihat para keluarga Kiram yang menjadi Sultan bukan sahaja telah menjadi tentera (barua?) Amerika Syarikat yang sememangnya adalah musuh rakyatnya sendiri malah ada pula (Sultan Sulu) yang menjadi mayor dan gabenor di Sulu di bawah kerajaan Filipina yang tidak selayaknya di sandang oleh seorang Sultan Sulu yang merdeka dan ini sangat memalukan kerabat-kerabat diraja Sulu dan rakyat Sulu keseluruhannya.

Kini sejarah berulang, Pewaris Pertama Kesultanan Sulu (Kiram) buat silap lagi (lagi dan lagi) dan Pewaris Kedua Kesultanan Sulu (Aranan) pula datang membetulkan keadaan. Kali ini kita akan melihat Kiram kemungkinan besarnya akan kehilangan hak mereka ke atas takhta Sulu buat selama-lamanya kerana kesilapan demi kesilapan yang mereka lakukan tidak diperbetulkan malah salsilah nasab keturunan yang ada pada mereka sendiri penuh dengan kesilapan dari segi fakta. Tidak berusaha mengkaji dan menyelamat umat Islam Sulu. Apa yang dalam kepala mereka setelah menjadi Sultan (tidak berdaulat itu) ialah "menuntut Sabah...menuntut Sabah...menuntut Sabah" sahaja. Ke sana ke mari membawa surat tuntutan yang kononnya mahu menuntut Sabah semula sebab Sabah itu mereka (Sultan Sulu) yang punya. Walhal negara asal kesultanan Sulu sendiri masih tidak tertuntut (Sulu). Patutnya mereka berusaha mengumpul tenaga rakyat jelata bersatu mengeluarkan wilayah Sulu itu (yang punya pusat sejarah kesultanan) dari kekuasaan Filipina dengan membuat pelbagai memorendum dan sebagainya bukannya menuntut Sabah.

Apa yang mereka tahu tentang sejarah "Pajakan Sabah"? Apa yang mereka tahu tentang nilai kesejahteraan terhadap rakyat mereka yang berlindung di Sabah? Sebenarnya yang mereka tahu ialah wang ringgit yakni fulus semata tanpa mengambil berat keadaan rakyat Sulu yang miskin dan melarat itu. Akhirnya setelah dapat duit pajakan tahunan RM5000 dari kedutaan Malaysia, mereka akan terus diam seperti tunggul kayu ditengah angin ribut!! Rakyatnya di Sulu dihujani bom (oleh tentera Filipina) pun masih tidak tahu apa-apa?

Maka kami menyeru kepada kesemua kerabat Kesultanan Sulu di mana jua mereka berada (termasuk yang menggelar diri mereka Sultan Sulu) agar kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Martabatkan kalimah "Laa Ilaha Illallah" wa "Muhammad Rasulullah s.a.w" kembali sebagai matlamat kalian kerana nenek moyang kalian bermula dari Sultan Shariful Hashim hingga dari keturunan Syarif Ali Barakat telah berjaya mengangkat Kalimah suci itu ke pelusuk Borneo (sebab mereka ini adalah ulamak besar) dan Kepulauan Sulu hinggakan Allah swt menganugerahkan mereka kekuasaan (jadi Sultan) walhal bukanlah kehendak mereka. Apa yang berlaku hari ini sebaliknya. Kerabat diraja Sulu berebut-rebut mahu dilantik menjadi Sultan kerana tujuan kekayaan pribadi dan dunia semata (hari ini di Sulu sahaja ada lebih dari 4 orang menabal diri jadi Sultan), tidak menuntut ilmu agama sebagai perisai Ahlul Bait mereka sesungguhnya mereka lupa kepada Allah dan Rasul-Nya lantaran Allah pun membiarkan mereka. Mereka tidak mengenali Syariat Allah s.w.t lagi seperti yang di bawa oleh nenek moyang mereka Sayidina Rasulullah s.a.w sebab itu rakyat Sulu keseluruhannya pun tidak mengenali mereka lagi (para sultan Sulu hari ini).

Sesungguhnya komen dan kritik kami kepada kesultanan Sulu adalah semata-mata atas rasa kasih sayang kami kepada Ahlul-Bait Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam. Apakah ada lagi perkara lain yang menjadi kedukaan kami kaum Sulu selain dari ini? Apakah kami rela keluarga Rasulullah s.a.w ini di caci dan dihina hanya disebabkan dari kealpaan mereka dalam mengendali atau memegang amanah kepimpinan sehingga umat Islam di Sulu itu boleh terjerumus kedalam lembah "kekufuran"?[12] Asyhadu alla ilaha illallah, Asyhadu anna Muhammadurrasulullah, saksikanlah kami wahai muslimin sekelian bahawa kami adalah termasuk dikalangan orang-orang Islam. Dan kami orang-orang Sulu sejak sekian lama telah membuktikan kepada dunia bahawa kami mengasihi dan membela Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w sehingga ketitisan darah kami yang terakhir. Mereka adalah wasilah kami!! Mereka adalah kekasih kami!! Mereka adalah syafa'at Rasulullah s.a.w untuk kami di akhirat kelak!! Mereka adalah pemimpin kami!! Mereka adalah Datu-Datu kami!! "Same'na wa ato'na" yang kami curahkan kepada mereka menyebabkan kami diberi kekuatan oleh Allah s.w.t mempertahankan wilayah kami selama hampir 400 tahun tanpa terkalah dan terjajah hingga hari ini!! Sesungguhnya mereka adalah perisai kaum Muslimin sehingga kiamat!!! Begitulah jeritan batin orang-orang Sulu terhadap pemimpin mereka yang mereka gelar "Salip" (Syarif iaitu Ahlul Bait) itu .


Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
"Pada hari kiamat aku akan menjadi syafi' (penolong) bagi empat golongan. Yang menghormati keturunan ku: yang memenuhi keperluan mereka: yang berupaya membantu urusan mereka pada waktu diperlukan dan yang mencintai mereka sepenuh hati"
(Hadith riwayah Imam Ahmad)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
"...Mereka (ahlul-bait) adalah keturunanku, dicipta dari darah dagingku dan dikurniai pengertian serta pengetahuanku. Celakalah orang dari umatku yang mendustakan keutamaan mereka dan memutuskan hubungan denganku melalui (pemutusan hubungan dengan) mereka. Kepada orang-orang seperti ini, Allah s.w.t tidak akan menurunkan syafaatku (pertolonganku)". (Hadith riwayat Al-Hakim dari Zaid bin Arqam r.a.)


Nota kaki:

[1] Bagi kami rujukan yang dicetak dan diterjemahkan di Malaysia seperti terjemahan buku "Muslim In The Philipines" ini ke Bahasa Melayu oleh Shamsuddin Jaapar dengan tajuk "Islam Di Filipina" yang diterbitkan oleh DBP dicetak pada 1988 adalah rujukan yang berwibawa. Bagi kami ia lebih selamat menggunakan rujukan yang diterbitkan di Malaysia lebih-lebih lagi kalau datang dari DBP sendiri terutamanya ketika menyentuh "Pajakan" Sabah yang sensitif itu.

[2] Tarsilah Brunei I & Tarsilah Brunei II yang ditulis oleh Pehin Prof. Hj Mohd Jamil Al-Sufri.

[3] Tuntutan Filipina Terhadap Sabah : Implikasi dari Segi Sejarah, Undang-Undang dan Politik - oleh Mohd Ariff Bin Dato' Hj Othman (Terbitan DBP :1988).

[4] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 84 (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988).

[5] Ahlul-Bait, Hj Muzaffar, Tun Suzana, m.s. 114 (Crescent KL : 2007).

[6] Anak kepada Sultan Shariful Hashim ini telah memulakan ikatan kekeluargaan (lebih dekat di antara keluarga Ahlul Bait) dengan mengahwinkan puterinya, Puteri Laila Menchenai dengan Sultan Brunei iaitu Sultan Bolkiah. Di sinilah permulaan kekeluargaan Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei.

[7] Inilah sultan yang terakhir dari nasab lelaki Sultan Shariful Hashim (dari Sayyidina Hussein r.a.) kerana selepas ini Kesultanan Sulu telah diambil alih oleh keturunan Kesultanan Brunei (dari Sayyidina Hassan r.a.).

[8] Ruj: Mukasurat 150, Salasilah Maharaja Adinda Aranan.

[9] Prof. Cesar, Op. Cit., m.s. 487.

[10] Rujuk: http://www.royalsulu.com/

[11] "Sultan Jamal ul-Kiram II died in 1936 without a direct heir. His niece and adopted child, Princess Piandao succeeded him as Pangyan (Sultana) of Sulu. But the some members of the Ruma Bichara (the Council of Elders) did not like the idea that their Pangyan was married to a non-Tausug" - by Datu Jamal Ashley Yahya - http://moroland.freehostia.com/

[12] Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud : "Hampir orang yang fakir miskin itu membawa kepada kekufuran." - (Riwayat Abu Namin daripada Anas). Para fakir miskin yang tidak redha dengan kemiskinannya (menyalahkan takdir Tuhan dan tidak berusaha) lantaran melakukan kerja-kerja mungkar seperti merompak, mencuri, menipu adalah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.