Jumaat, 10 Februari 2012

Surat Terbuka Untuk Hasan Ali.


 Hasan Ali
Assalammuallaikum wbt.

YB Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang saya hormati,

 Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Datuk merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Datuk juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Datuk sekeluarga.

Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Datuk sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Datuk menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Datuk mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan.

Kesedaran bahawa apa Da­tuk lem­parkan kepada mantan parti Datuk sendiri, iaitu Pas di dalam kenyataan-kenyataan Datuk di media dan juga lewat ceramah-ceramah yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Datuk untuk menilai beberapa kenyataan dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya.

Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang dipikul dan bukannya sebagai ahli politik.

Saya bukanlah ahli parti Pas, yang tampil membela parti dari serangan Datuk. Maka saya bertegas menyatakan apa yang ditulis ini hanyalah semata-mata pandangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Datuk mahupun kepada parti yang memecat Datuk.

 Saya kira Datuk mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat.

Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti dianalisis pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan perkongsian kuasa dan juga pengaruh rakyat melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

 Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat segar ialah kemampuan gerakan-gera­kan tersebut untuk menawarkan apa diperlu­an oleh rakyat dan sesebuah negara di dalam pendekatan mereka.

Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti.

Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan Taliban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka.

Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator.

Perkara ini telah membuatkan ramai pengkaji Barat mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

 Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian.

Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan Pas yang Datuk pernah sertai dahulu.

Gelombang ini sekali gus melenyapkan pengaruh model Iran.

 Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan.

Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan.

Menurut kajian saya ke atas wacana baru Pas, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, Pas juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Datuk merasakan pendekatan baru Pas ini bermakna Pas telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Datuk tersilap. Perubahan pada Pas bukanlah kerja parasit sepertimana yang didakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang.

Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada Pas, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit.

Timbul dilema di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideologi gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit?

Apakah mungkin Datuk ingin mengatakan Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

 Yakinlah Datuk, sepertimana gerakan-gerakan tersebut berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihan raya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, Pas juga sedang meniti langkah tersebut.

Inilah yang ditakuti oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN). Pihak lawan tidak mahukan Pas mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu Pas kekal sebagai parti kampung milik pak lebai dan pak haji.

Pihak lawan juga tidak mahu Pas bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa Pas dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang.

Malang sekali apabila Datuk pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada Pas.

Lebih malang lagi kini Datuk menjadi suara pihak lawan untuk memaksa Pas kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang dipolitikkan Umno dan BN.

 Saya yakin, di dalam Pas masih terdapat segelintir yang termakan umpan Datuk lantas mempercayai kewujudan parasit.

Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Datuk untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya.

Melalui pengamatan saya, Pas akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Datuk ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Datuk tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

 Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ Pas dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati Pas ternyata senada dengan mereka yang telah berjaya di negara masing-masing.

Saya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik Pas di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada.

Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti Pas.

Jelas sekali Pas sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif Datuk, malah dipandang sinis.

 Melihat kepada isu hudud yang Datuk anggap telah ditinggalkan Pas, saya kira itu juga agak kurang tepat.

Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat Pas dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan Pas yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai.

Pendekatan diplomasi Pas ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme Pas dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten Pas inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong Pas’.

 Akhir kata, jika Datuk benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Datuk lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Datuk.

Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Datuk untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Datuk miliki.

Mungkin juga Datuk boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran.

Jika dulu mungkin Datuk sibuk dengan tugas exco, kini Datuk lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Datuk yang ingin menjaga aqidah itu.

Saya kira Datuk juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Datuk itu.

Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Datuk untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Datuk kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal.

Saya amat meyakini, jika Datuk berdakwah seperti itu, Datuk akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.
 
Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM

Rabu, 8 Februari 2012

Kaya Lu Shahrizat, Anggaran RM 173,000 Sebulan Untuk Bayaran Ansuran.


Seperti yang didedahkan sebelum ini, pengurusan NFC telah menubuhkan beberapa syarikat di Singapura bagi menjalankan perniagaan peribadi milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil tetapi dibiayai melalui pemindahan wang yang berasal dari dana rakyat berjumlah RM250 juta yang diberikan kepada NFC.


Sebelum ini, KEADILAN telah mengemukakan bukti bahawa sejumlah S$530,000 (bersamaan RM1.3 juta) telah dipindahkan dari dana NFC kepada Meatworks (Singapore) Pte Ltd bagi tempoh 3 bulan antara Oktober hingga Disember 2010. Saya percaya banyak lagi pemindahan wang seperti ini berlaku untuk membiayai perniagaan milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura.

KEADILAN juga mengesyaki perniagaan-perniagaan ini digunakan untuk mengumpul harta peribadi di Singapura, termasuklah mendapatkan pinjaman bagi membeli kondominium-kondominium mewah di Singapura.

Pada 17 Januari 2012, saya menerima satu maklumat bahawa keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mendapat pembiayaan dari Maybank untuk membeli satu kondominium mewah di Singapura. Berdasarkan maklumat ini, saya turut bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang berada di Singapura termasuk menggunakan khidmat penyiasat persendirian untuk mengenalpasti unit-unit yang dibeli.

Hasil siasatan mengesahkan bahawa selain dari satu unit kondominium mewah Orchard Scotts, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil telah membeli dua lagi unit kondominium mewah di Marina Bay Suites, Singapura.


Butir-butirnya adalah seperti berikut:

Kondominium PertamaAlamat: #08-01, Marina Bay Suites, 3 Central Boulevard, Singapore 018965

Hakmilik: Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail,Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh(rujuk muka surat 6, Sijil Hakmilik yang dikeluarkan Singapore Land Authority)

Harga: S$7,114,000 bersamaan RM17,205,209
Tarikh dibeli: 27 Mei 2010

Pembiaya: United Overseas Bank Limited (UOB)


Kondominium KeduaAlamat: #11-01, Marina Bay Suites, 3 Central Boulevard, Singapore 018965

Hakmilik: Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail,Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh(rujuk muka surat 6, Sijil Hakmilik yang dikeluarkan Singapore Land Authority)

Harga: S$7,177,000 bersamaan RM17,357,575

Tarikh: dibeli 27 Mei 2010

Pembiaya: Malayan Banking Berhad (Maybank)

Kedua-dua unit ini terletak berhampiran dengan sebuah restoran mewah yang dimiliki dan dikendalikan oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura, iaitu Brawn Steakhouse.


Kemudahan pembiayaan untuk membeli 2 buah kondominium berjumlah RM34,562,784 dipercayai diluluskan oleh bank-bank terbabit sebagai urusan timbal balik kerana NFC dan syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mempunyai deposit yang besar di bank-bank tersebut. Deposit tersebut adalah sebahagian dari dana RM250 juta yang diluluskan bagi tujuan operasi Pusat Fidlot Kebangsaan yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Pembelian dua buah kondominium mewah di Singapura ini menjadi satu lagi bukti bagaimana dana RM250 juta telah digunakan bagi tujuan peribadi untuk megumpul harta, sedangkan tujuan asal dana tersebut diberikan tidak dipenuhi.

Persoalan yang lebih besar ialah bagaimanakah keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mampu menanggung bayaran balik bulanan yang cukup besar. Anggaran saya berdasarkan kadar pinjaman semasa dan tempoh bayaran balik 25 tahun menunjukkan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil perlu membayar RM173,000 sebulan untuk membiayai pinjaman kedua-dua kondominium tersebut.

Ini menimbulkan risiko besar berlakunya penyelewengan dalam pengurusan dana RM250 juta memandangkan mustahil Dato’ Seri Salleh Ismail dan anak beliau, Wan Shahinur Izran berpendapatan sebegitu tinggi untuk melangsaikan tanggungan hutang bulanan kepada bank-bank terbabit. Ada kemungkinan dana awam berjumlah RM250 juta itu diselewengkan kepada pelbagai syarikat yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura, sebahagiannya untuk menampung bayaran balik pinjaman kondominium yang dibeli.

Dengan pendedahan terbaru ini, jumlah keseluruhan harta peribadi keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil yang ditampung oleh dana awam RM250 juta yang diberikan kepada NFC (baik dibayar secara terus atau melalui urusniaga timbal balik berdasarkan pendepositan dana yang besar) yang telah didedahkan setakat ini adalah seperti berikut:


Saya ingin merumuskan pendedahan kali ini dengan mengajukan 3 soalan masing-masing kepada pengurusan NFC, Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan Dato’ Seri Najib Tun Razak:

1) Apakah bukti-bukti yang boleh dikemukakan oleh pengurusan NFC bahawa pinjaman-pinjaman yang diambil untuk membiayai 2 unit kondominium mewah di Marina Bay Suites ini tidak ada kena mengena dengan dana awam RM250 juta yang diamanahkan kepada NFC?

2) Beranikah Dato’ Seri Shahrizat Jalil tampil ke hadapan memperincikan pendapatan keseluruhan ahli keluarga beliau sehingga mampu mengumpul harta sedemikian rupa dalam masa 2-3 tahun kebelakangan ini?

3) Apakah Dato’ Seri Najib Tun Razak mempunyai kekuatan moral untuk menentang rasuah dan salahguna kuasa dengan mewajibkan setiap ahli kabinet mengisytiharkan keseluruhan harta yang dipunyai oleh mereka dan ahli keluarga mereka, berikutan pendedahan harta yang dimiliki keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil?
Rakyat akan terus memerhati dan menilai tindakan yang diambil oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam menangani skandal NFC ini. Jalan terbaik untuk menjada kredibiliti kerajaan dan institusi berkuasa seperti SPRM dan PDRM adalah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya diRaja secepat mungkin untuk menyiasat skandal ini.


MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

8 FEBRUARI 2012

Isnin, 6 Februari 2012

Maaf Hasan Ali, Gua U-Turn Sokongan Gua Terhadap Lu.

Orang akan kata, 'lu sape dan hebat sangat ker lu punya pengaruh' apabila gua mengundur diri dari menyokong Dr Hasan Ali. Gua rasa ini artikel pertama gua setelah gua lakukan U-Turn daripada menyokong segala tindak tanduk dan kenyataan beliau setelah beliau menolak dari merayu kepada Majlis Syura. Dulu gua memang menyokong beliau dan kerana itulah gua tidak menulis artikel menghentam beliau dan gua memilih untuk berdiam diri.

Alasan-alasan yang beliau keluarkan untuk tidak merayu pemecatannya adalah satu sikap sombong dan takbur. Apakah cukup dengan menyatakan janji yang dikeluarkan setelah berjumpa dengan TGNA dan TGHH di Kota Bahru telah dilanggar amat memalukan walau pun gua tidak pasti akan intipati perjumpaan tersebut. Jika mengikut logik akal gua yang bukan bertaraf Phd pun boleh memikirkan apa yang dimaksudkan 'perkara itu telah selesai'.( 9 sebab beliau tidak akan merayu)

Seperti yang diucapkan oleh TGNA 'perkara itu telah selesai' boleh ditakrifkan sebelum beliau menyerang semula PAS melalui media pencacai selepas perjumpaan itu dan beliau juga dengan angkuh menyatakan tiada ayat meminta maaf yang keluar dari mulutnya. Apakah beliau merasa cukup hebat sehinggakan PAS tidak boleh memecat beliau yang bagi gua, 'Lu Sape' wahai Hasan Ali. Lu masuk PAS pun bukannya dalam keadaan PAS daif dan kurang golongan profesional atau pun PAS masih digelar parti kampung. Lu masuk PAS dalam keadaan PAS gah dan diterima oleh semua lapisan masyarakat dan lu masuk dengan hamparan karpet merah ma.

Beliau tanpa merasa malu telah mengelar dirinya sebagai 'Pejuang Melayu/Islam' dan terperasan yang beliau seorang yang berpengaruh. Siapa ler Dr Hasan Ali jika tidak kerana PAS yang mengangkat beliau walau pun ketika itu beliau sudah dikenali sebagai pakar motivasi berbayar. Apakah beliau boleh berada didalam kedudukan sekarang ini jika beliau bersama Umno?. Gua boleh jamin yang beliau akan senasib dengan bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Nakheia Ahmad yang disejuk bekukan oleh Umno.

Apa yang terkilan bagi gua sehingga gua menulis artikel ini adalah disebabkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfodz Mohamed yang disiarkan oleh FMT Baca Sini. Gua sendiri terkejut dengan apa yang dilaporkan oleh Dr Hahfodz, bagaimana beliau telah ke rumah Dr Hasan Ali bersama isterinya tetapi tidak dilayan malah pintu pun tidak dibuka oleh beliau sedang Dr Mahfodz adalah rakan beliau sendiri. Inikah sikap seorang yang bergelar pakar motivasi yang mendidik remaja di kem motivasi yang dimiliki oleh beliau?. Jangan kata dalam Islam, mengikut adat orang Melayu yang menitik beratkan budi bahasa, tetamu amat-amat diraikan tanpa mengira bangsa dan agama.

Sejak itulah gua semakin meluat dengan manusia yang bernama Dr Hasan Ali dan gua tidak lagi mempercayai kata-kata beliau. Jika inilah sikapnya, maka gua boleh pertikaikan kenyataan beliau tentang penolakan untuk merayu kepada Majlis Syura. Gua menolak masak-masak kenyataannya yang berbunyi, 'setelah mengambil kira pandangan-pandangan alim ulama dan ahli profesional didalam dan luar parti' kerana ini adalah satu pembohongan semata-mata atas alasan, kawan baiknya sendiri pun tidak diperlawa masuk.

Beliau cuba memburukkan PAS dengan bermacam fitnah yang kesudahannya, keburukkannya yang semakin terserlah. Apakah beliau menyangka kedatangan orang ramai keceramah beliau menunjukkan beliau mempunyai pengaruh, maka memang Dr Hasan Ali silap. Apabila gua membaca artikel-artikel dialam siber yang pro pembangkang dan pro kerajaan, majoriti diantara mereka cukup meluat dengan Dr Hasan Ali. Lu fikir sendiri ler.

Jumaat, 3 Februari 2012

Konsep al-Wasatiyyah


Mutakhir ini perkataan al-Wasatiyyah diwar-warkan, menggantikan slogan Islam Hadhari yang ditenggelamkan entah di mana dan tidak diketahui sampai ke mana. Jangan terjebak dengan apa yang disebut oleh ucapan Sayyidina Ali K.W.

كلمة حق أريد بها باطل
(Kata-kata yang benar dijadikan tujuannya kebatilan)

Kebenaran yang mutlak tanpa dipertikaikan ialah kenyataan daripada Allah. Marilah kita berpegang kepadanya.

Firman Allah (maksudnya):

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasatun, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad S.A.W) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: 143)

Dari sini bertolaknya konsep al-Wasatiyyah. Perkataan al-Wasatiyyah (الوسطية) dalam bahasa Arab adalah daripada  perkataan al-Wasat(الوسط)  yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.

Apabila menafsirkan al-Quran dan menghuraikan hadith daripada perkataan al-Wasat adalah tidak tepat dengan makna zahir bahasanya sahaja, sehingga membawa maksud pertengahan di antara baik dan buruk secara bercampur aduk atau adil dan zalim sama-sama dilakukan, dengan maksud boleh dikumpulkan  benar dan salah, makruf dan munkar, buat baik dan buat maksiat kerana mesej Islam yang bersumberkan al-Quran dan ditafsirkan oleh sunnah Rasulullah S.A.W membawa mesej pelaksanaan kebaikan yang terbaik dengan betul dan istiqamah serta meninggalkan segala kemunkaran dan mencegahnya secara hikmah.

Ramai yang mengambil kesempatan meninggalkan syariat Allah dengan sengaja, berselindung di sebalik menafsirkan al-Wasatiyyah dengan hujjah, kononnya mengikut kehendak semasa, dengan cara tidak istiqamah mengikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan bergantung kepada terjemahan dari segi zahir bahasanya sahaja yang bermakna pertengahan di antara baik dan buruk, adil dan zalim, makruf dan munkar dalam keadaan mencampur adukkan kebaikan dan keburukan atau melaksanakan Islam secara terpilih, bukan keseluruhannya kerana mengikut langkah-langkah syaitan atau  beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi, laksana kaum Yahudi yang dimurka Allah (al-maghdub alaihim), atau mengikut kemahuan sendiri laksana penganut ajaran sesat (al-dallin), tanpa usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan mesej umat terpilih dengan menegakkan makruf dan menentang kemunkaran atau tidak bercita-cita melaksanakan Islam sepenuhnya, dibuktikan dengan lebih setengah abad berpeluang mendapat kuasa politik memegang amanah.

Sederhana bukan beramal dengan Islam tanpa kesungguhan atau tidak melampau sehingga menyerah kalah, tanpa perhitungan sempadan nilai yang sebenar daripada hukum Allah dan matlamat kejadian manusia dan fitrahnya mengikut penciptanya sendiri iaitu Allah S.W.T, sehingga  meninggalkan syariat Allah yang asasi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, meninggalkan kewajipan beramal dengan syariat Allah serta tidak sempurna melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Allah memberi amaran kapada kaum Bani Israil yang dimurka sehingga hari kiamat, supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam.

Firman Allah (maksudnya):

Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.(Surah al-Baqarah: 42)

Apabila Islam keseluruhannya adalah panduan dan petunjuk jalan serta batas sempadan perjalanan kehidupan manusia, jika meninggalkannya atau pelaksanaannya tidak sempurna, menyebabkan berlakunya banyak perkara-perkara yang merosakkan kehidupan manusia dan alam sekelilingnya, maka Islam pula yang dipersalahkan.

Perlu difahami bahawa setiap aspek ajaran Islam yang berkait dengan akidah dengan setiap rukun dan cabangnya, syariat dalam segala urusannya, akhlak dalam segala hubungannya dan sistem pelaksanaannya secara menyeluruh adalah mata rantai yang tidak boleh dipisahkan atau dikurangkan.
Zahir ayat Ummat Wasatiyyah tersebut menegaskan bahawa umat Islam dijadikan contoh di kalangan seluruh manusia dan layak menjadi saksi bagi pihak Rasul terhadap manusia pada hari kiamat kelak, bahawa para Rasul telah menyampaikan petunjuk Allah yang bernama Islam dengan amanah dan sempurna, sehingga mengharungi perjuangan bersama Rasul atau meneruskan perjuangannya yang penuh pengorbanan harta dan jiwa raga, bagi mengislamkan manusia dalam seluruh cara kehidupannya dari dunia dan berwawasan hari akhirat, bukan sekadar wawasan 2020.

Mengikut kaedah ilmu tafasir, al-Quran hendaklah ditafsirkan mengikut keutamaan. Sekiranya ada ayat-ayat al-Quran sendiri yang menafsirkan al-Quran hendaklah didahulukan, kemudian diikuti dengan sunnah Rasulullah S.A.W yang menafsirkan al-Quran, seterusnya diikuti dengan tafsir para ulama sahabat yang menerima secara berdepan dan menyaksikan tafsiran Rasulullah S.A.W secara menghayatinya, kemudian tafsir para ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan mutakhir) yang menafsirkan al-Quran mengikut Ulum al- Quran (Ilmu-Ilmu alat bagi memahami al-Quran). Begitulah caranya al-Quran ditafsirkan dengan tepat, mengikut  perintah Allah dan petunjuknya melalui Rasulullah S.A.W supaya diamalkan dengan berdasarkan iman. Kalau tidak maka tafsirnya salah dan berdosa besar  atau menyeleweng sehingga sesat dan menyesatkan. Kalangan ulama yang mengambil pendekatan begitu adalah mengambil contoh golongan ahli kitab yang dimurka Allah (al-Maghdub alaihim dalam surah al-Fatihah) atau ulama jahat.

Firman Allah menunjukkan adanya kalangan ulama seperti ini (maksudnya):

Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.
Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.
Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.(Surah al-Araf: 175-177)

Para ulama tafsir menceritakan ayat-ayat ini berkait dengan ulama yang disuap dengan kesenangan dunia sehingga sanggup memutar belit ayat-ayat Allah.

Al-Quran tidak boleh diseleweng dan dipermainkan kerana tetap dipelihara oleh Allah. Al-Quran itu hendaklah ditafsirkan mengikut ilmu-ilmu yang berkait dengannya  iaitu ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf, balaghah, sastera Arab kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Ilmu asbab al-nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), nasikh dan mansukh dan juga ilmu riwayat dan dirayat.

Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya.  Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran  dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah  di akhirat.

Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah  masyarakat manusia itu  dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):

Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8) المائدة
(Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang bangun menegakkan agama Allah kerananya (dengan ikhlas), supaya menjadi para saksi dengan adil, dan janganlah dengan sebab kamu bermusuh terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil Berlaku adillah, kerana lebih hampir kepada sifat taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha teliti pengetahuannya terhadap apa-apa yang kamu lakukan). (Surah al-Maidah: 8)

Rasulullah S.A.W memulakan pembangunan insan generasi awal yang pertama menjadi contoh Ummatan Wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah. Apabila ditawarkan melalui Abu Talib yang paling disegani menjadi Raja atau Ketua dengan harta kekayaan dikumpulkan untuknya, tawaran yang mahal ini ditolak dengan tegas, sabdanya :
يا عم والله لو وضعوا الشمس في يمينى، والقمر في يسارى على أن أترك هذا الامر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته .
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 474)
(Wahai bapa saudara kesayanganku, sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati kerananya nescaya aku tidak meninggalkannya).

Al-wasatiyyah dalam agama dan sistem cara hidup

Kedatangan Rasulullah S.A.W membawa Islam agama Allah adalah kesinambungan risalah para Rasul sebelumnya, setelah ajaran Rasul terdahulu dipesong menjadi sesat. Dua agama samawi, Yahudi dan Kristian yang terserlah sudah dipinda dan diubah oleh para pendeta dan paderi yang bersekongkol dengan kerajaan yang zalim di zaman masing-masing, sehingga berlaku penindasan agama terhadap masyarakat  dengan mengadakan hukum yang tidak diizin oleh Allah.

Agama yang tidak samawi pula lebih sesat, sehingga menjadikan manusia memuja makhluk seperti batu dan binatang yang tidak berakal, serta menyanjung para sami seperti Tuhan. Islam berada ditengah-tengah penyelewengan agama, membawa Aqidah Tauhid mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup, menentang penyelewengan agama samawi dan tidak samawi. Menentang agama yang menjadikan manusia seperti malaikat dan meletakkan manusia seperti binatang dan lebih rendah daripada binatang  dan makhluk yang lain.

Berdasarkan firman Allah (maksudnya):

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.(Surah al-Israk: 70)

Islam meletakkan manusia mengikut konsep Wasatiyyah, ada ruh  berhubung dengan Tuhan tidak seperti malaikat, ada jasad dan hawa nafsu tidak seperti binatang dan boleh bergerak tidak seperti batu dan kayu.

Islam juga tidak melampau seperti Kristian yang memuja Rasul sehingga diletakkan setaraf ketuhanan dan tidak seperti Yahudi yang menolak Rasul dengan keras sehingga membunuhnya dan meminda ajarannya mengikut hawa nafsu.

Maka Islam adalah wasatiyyah di kalangan agama, kerana meletakkan manusia mengikut fitrahnya dengan tepat dan terbaik mengikut ketentuan Allah, sekiranya manusia itu berpegang dengan Islam dan beramal sepenuhnya dalam cara beragama, bukan dengan makna agama secara sekularisme.

Dalam aspek politik, wujudnya pemerintahan diktatur (kuku besi) yang memberi kuasa mutlak kepada seseorang atau kumpulan. Kemudiannya lahir amalan teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada ahli agama, dan demokrasi Barat yang dikatakan hak kepada rakyat secara mutlak. Maka Islam berbeza dengan semua teori tersebut dengan menyerlahkan wasatiyyah menentang diktatur dan teokrasi serta menentang penipuan terhadap rakyat di atas nama hak rakyat tanpa mengira jahil dan terdesak,  dengan  menyatakan batas sempadan ketaatan kepada pemimpin dan para ulama dan hak rakyat dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada sesiapa.

Meletakkan batas sempadan perkara-perkara  kemampuan manusia dan di luar kemampuan manusia. Islam menegaskan syarat iman, ilmu dan akhlak mengikut perhitungan agama yang adanya muhasabah halal dan haram, serta dosa dan pahala dalam amalan politik, bukan sahaja dalam perkara ibadat, kerana Islam tidak memisahkan politik daripada agama. Menerima apa yang baik dan bijaksana walaupun datang daripada mana tanpa mengira timur dan barat, dan menolak yang buruk dan jahat walaupun dilahirkan di bumi Makkah.

Dalam aspek ekonomi pula Islam menentang teori kapitalisme yang membebaskan hak individu sehingga mengorbankan hak masyarakat dan menentang komunisme dan sosialisme yang merampas hak individu di atas nama keadilan terhadap masyarakat, dan semua teori tersebut berteraskan kebendaan samada memisahkan kewajipan agama dalam ekonomi atau menafikan adanya peranan agama dalam kehidupan manusia.

Islam mengizinkan miliki harta dan mengurusnya, tetapi wajib menunaikan kewajipan bermasyarakat dengan zakat dan lain-lain.

Firman Allah (maksudnya):

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.(Surah az-Zariyat: 19)

Islam juga memerintahkan supaya membelanjakan harta secara sederhana, tidak boros dan tidak bakhil. Firman Allah (maksudnya):

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.(Surah al-Israk: 29)

Dalam kehidupan berkeluarga Islam tidak seperti agama yang mengharamkan paderi dan saminya  berkahwin seperti malaikat dan ajaran yang membebaskan pergaulan seperti binatang, kerana kedua-duanya bertentangan dengan fitrah manusia. Maka Islam menetapkan hukum berkeluarga bermula daripada pertunangan, sehinggalah perkahwinan, nafkah dan perceraian.

Islam juga menetapkan ajaran yang berkait dengan adab pergaulan dalam keluarga dan masyarakat yang luas, daripada hukum berpakaian sehingga hukum bergaul dan bermuamalat, bagi menjaga akhlak manusia dan keharmonian kehidupan mereka.

Bagi menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah dan harta yang menjadi rukun kehidupan manusia maka Allah mewajibkan undang-undang jenayah, qisas dan hudud secara nas dalam hanya beberapa perkara yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia yang tetap bersifat makhluk yang lemah. Bagi perkara-perkara yang boleh dicapai dengan ilmu dan pengalaman, maka Islam mengizinkan kebijaksanaan akal dan pengalaman dengan panduannya.

Islam juga berkonsepkan al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa, perdamaian adalah konsep pertama yang wajib didahulukan, dalam masa yang sama mengakui bahawa adanya peperangan yang menjadi fitrah manusia, kerana adanya perbezaan yang membawa pergeseran dan wujudnya manusia yang menjadi pengikut syaitan yang wajib ditentang dengan cara peperangan apabila diceroboh dengan zalim, tetapi diharamkan melampau menggunakan senjata, ketika berperang dan selepasnya walaupun mencapai kemenangan.

Firman Allah (maksudnya):

Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.(Surah al-Baqarah: 190)

Islam mendahulukan perdamaian

Firman Allah (maksudnya):

Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
Dan jika mereka bermaksud menipumu, Maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin.(Surah al-Anfal: 61-62)

Al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa bermakna wajib berlaku adil di masa damai dan perang, tidak menyerah kalah terhadap kezaliman dan tidak melampau apabila bertindak.

Al-Wasatiyyah mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W menjadi ikutan adalah tetap, teguh dan istiqamah, bukan slogan politik sementara seperti Islam hadari, bersih cekap dan amanah, kepimpinan melalui teladan, yang pelaksanaannya tidak cukup dan tidak berpijak di bumi nyata, tenggelam dalam gejala keruntuhan yang tidak mampu dibaiki dengan islah kerana prinsip yang salah dan konsep yang tempang dan didatangi masalah baru yang bertalu-talu.

Makna wasatiyyah bukan melaksanakan Islam tidak sempurna atau secara terpilih  atau campur aduk. Bukan sekadar mendirikan masjid tanpa sempurna mendirikan sembahyang, mengadakan Bank Islam tanpa kuasa mencegah kemunkaran riba, mengadakan musabaqah sekadar mendengar suara tanpa menjadikan petunjuk dalam amalan dan akhlak, kehilangan harta dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan salah urus lebih besar daripada bantuan kepada yang berhak dan kesimpulannya menegakkan kebaikan yang tidak sempurna  membiakkan kemunkaran yang meningkat. Maka tidak layak bersifat al- Wasatiyyah untuk menunjukkan model Islam dan tidak layak menjadi saksi di dunia dan akhirat.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Antara Rosmah Dengan Sirleaf, Siapa Lebih Bagus...!!!




WANITA ini pernah dipenjarakan pada tahun 1985 oleh diktator Afrika paling kejam, Samuel Doe selama sedekad. Sengsara itu berterusan apabila pengganti Samuel, Charles Taylor menuduhnya sebagai penderhaka dan mengheretnya sekali lagi ke penjara.
Sesungguhnya, perjalanan karier Ellen Johnson Sirleaf, 74, sebelum dilantik menjadi Presiden Liberia tidak mudah. Beliau meniti cabaran yang bukan calang-calang.
Menjadi satu cabaran sangat hebat kepada wanita itu apabila beliau bukan sahaja mentadbir sebuah negara yang berusia 166 tahun tetapi baru sahaja bertemu keamanan setelah bergelut dengan perang saudara.
Perang itu, kata Sirleaf, telah merencatkan pembangunan ekonomi dan kemajuan Liberia. Di saat negara lain meniti arus kemodenan, rakyat Liberia masih menyalakan pelita minyak tanah dan mengangkut air dari telaga.
Kemudahan lain seperti hospital, klinik dan sekolah usah ditanya. Semuanya punah dilanda badai perang. Canda tawa keluarga dan kanak-kanak sudah hampir tidak kedengaran. Memetik laporan AP, lebih 250,000 nyawa terkorban impak daripada perang saudara negara itu.
BBC News pula melaporkan, kadar pengangguran di negara Afrika itu cukup tinggi iaitu mencecah 80 peratus.
Melangkau tahun 2005, ia menokok kepada 85 peratus dan prestasi itu dikatakan terburuk pernah dicatatkan dunia.
Pendapatan rakyat Liberia pula hanya berjumlah RM3.80 sehari. Bayangkan bagaimana kesengsaraan penduduk negara di pesisir Barat Afrika itu.
Senario itu sememangnya telah memberi tekanan hebat kepada seluruh penduduk. Jadi tidak hairanlah orang muda di sana sering bergelumang dengan dadah sehinggakan penjara di ibu negara Liberia, Monrovia, sesak dengan banduan.


LIBERIA yang dihuni hampir empat juta penduduk baru sahaja bebas daripada perang saudara yang berlarutan hampir 15 tahun lamanya.

Dalam hal ini, kata Sirleaf, semasa baru memegang tampuk pemerintahan: "Keutamaan saya adalah untuk mendidik orang muda dan memberi mereka peluang untuk penyatuan."
Rasuah turut memeningkan kepala Sirleaf kerana ia telah menghancurkan sistem kehakiman dan perundangan Liberia.
Namun, yang paling menyulitkan pentadbiran Sirleaf ialah bagaimana beliau harus menghentikan praktik amalan ritual Liberia iaitu perbicaraan berasaskan keseksaan.
Ia merupakan hukuman yang dikenakan menggunakan sama ada minyak atau logam panas dan air mendidih untuk menghukum tertuduh. Jika, individu itu berjaya menyempurnakan seksaan tanpa sebarang kecederaan, individu itu akan dianggap tidak bersalah.
Diceraikan
Sirleaf tidak hanya berdepan dengan masalah negaranya yang kucar-kacir. Aturan kehidupan peribadinya juga tidak seindah seperti pemimpin-pemimpin dunia lain.
Lelaki yang dikahwininya pada usia 17 tahun menceraikannya. Mengapa? Itu semua kerana mantan suaminya, James Sirleaf dikatakan tidak dapat menerima kelebihan isterinya yang dikatakan lebih bijak daripadanya.
Barangkali kenyataan itu ada kebenarannya. Berasal daripada suku kaum Americo-Liberian di Monrovia, Sirleaf ialah graduan daripada Madison Business College, Madison, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang ekonomi dan perakaunan.
Pencarian ilmunya tidak terhenti setakat di situ. Pada tahun 1971, wanita itu memperoleh Ijazah Pentadbiran Awam daripada Universiti Harvard dan kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan sewaktu era pemerintahan William Tolbert.
Sepanjang hayatnya, Sirleaf telah menumpahkan jiwa dan raganya berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia termasuk dengan institusi kewangan persendirian Citibank di New York.
Profil kerjayanya semakin memuncak apabila memenangi kerusi Presiden Liberia pada tahun 2006. Sirleaf mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama di benua Afrika menyandang jawatan Presiden.



SELAIN disokong oleh Barack Obama, kepimpinan wanita Liberia ini turut mendapat sokongan kuat daripada mantan Presiden AS, George W.Bush.

Pada pilihan raya Presiden pusingan kedua tahun lalu, wanita itu dengan mudah menewaskan bekas pemain bola sepak kelab terkenal Itali, George Weah.

Atas kredibiliti Sirleaf, tidak hairanlah apabila beliau diceraikan oleh suaminya. Kini, beliau yang bergelar janda melayari bahtera kehidupannya di samping empat anak dan enam cucunya.
Kejayaan
Meskipun bergelar janda, rakyat Liberia tetap yakin dengan keupayaan Sirleaf. Mereka juga percaya bahawa Liberia tidak akan jatuh ke dalam satu lagi krisis yang akan mengancam penduduk pada masa akan datang.
Ya, sememangnya Sirleaf bukan sebarangan wanita. Latar belakangnya dikatakan banyak membantunya memacu ekonomi negaranya.
Pada awal pemerintahannya, Global Post melaporkan, Sirleaf berjaya mengurangkan kadar hutang kebangsaan yang dianggarkan bernilai RM15 bilion. Liberia juga berjaya mempengaruhi AS untuk mendapatkan hutang geran bernilai hampir RM1 bilion.
"Orang luar pasti tidak menjangkakan perubahan Liberia kerana kami miskin. Negara perang seperti kami biasanya memerlukan lelaki yang gagah untuk mentadbir tapi wanita telah menunjukkan sisi lain dan perlu saya katakan bahawa saya telah membuktikan pandangan orang luar itu sama sekali salah," tegasnya.
Bagaimanapun, ujar Presiden ke-24 Liberia itu, kancah politik yang dinaunginya mendedahkan dirinya dengan banyak musuh.
Sirleaf sememangnya telah dikecam hebat oleh kepimpinan lalu apabila beliau dikatakan gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Presiden pada penggal pertama lalu.
"Sirleaf menunjukkan prestasi mengecewakan, dia gagal membendung gejala rasuah dan mendamaikan negara," selar bekas Presiden paling lama memerintah Liberia, Winston A. Tubman.
Kata-kata Tubman itu sedikit pun tidak mengurangkan sokongan ke atas Sirleaf. Sebaliknya, para penyokongnya berpendapat, wanita besi mereka telah melakukan revolusi paling hebat.
Antara anjakan paradigma awal anak kelahiran Monrovia itu ialah menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa negara kuasa besar dunia seperti Republik China selain AS.
Dua tahun lalu, Sirleaf telah bertemu dengan Barack Obama di White House dalam usahanya meraih sokongan negara Uncle Sam itu.
Kerajaan Liberia juga menjalin kerjasama dengan Malaysia apabila Sime Darby Bhd. dilaporkan telah melabur dalam projek perladangan di sana.
Paling menggembirakan Liberia semasa era pemerintahan Sirleaf adalah peningkatan pendapatan rakyat Liberia daripada RM114 ke RM243 sebulan.
Namun, semasa wawancara eksklusif bersama New York Times, beliau melontarkan kebimbangan terhadap ancaman rogol dalam kalangan wanita. Jenayah rogol, katanya, merupakan endemik yang masih berleluasa dan menakutkan.




"Ia masih menjadi masalah besar bagi Liberia dan berlarutan kerana masing-masing mendiamkan diri kerana rasa malu," katanya.
Beliau juga sedang berusaha meningkatkan kadar literasi rakyatnya yang tidak sampai 30 peratus itu.
Kepada mereka yang tidak yakin dengan kebolehan Sirleaf dulu, barangkali perlu membuang persepsi itu jauh-jauh.
Obama pada Mei 2010 memuji pentadbiran wanita itu dengan berkata: "Liberia kini bebas daripada kemelut yang berpanjangan. AS sangat berbangga dengan usaha luar biasa beliau."
Dalam perutusan tahun baru lalu, Sirleaf yang hanya digaji sebanyak RM22,800 sebulan dengan wajah kelegaan berkata: "Selepas enam tahun, kita bangga melihat kemajuan negara kita, kita berjaya membangunkan ekonomi, prasarana, keselamatan, undang-undang dan keamanan. Liberia di bawah pentadbiran saya diharapkan akan terus aman dan makmur."

FB