Jumaat, 9 Disember 2011

Tengku Muhammad Fakhry Saman IGP Dan Tiga Yang Lain RM100 juta

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar

Adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini memfailkan saman RM100 juta ke atas empat pihak termasuk Ketua Polis Negara berhubung tindakan polis mengenakan kurungan di Istana Mahkota Kubang Kerian, Kelantan secara tidak sah dua tahun lalu.
Peguam Tengku Muhammad Fakhry, Datuk Harpal Singh berkata pelangganya juga menuntut RM50 juta lagi dalam bentuk ganti rugi teladan dan teruk.
Laporan Star Online menyebut bahawa dalam pernyataan tuntutan, putera itu menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan tiga yang lain sebagai defendan.
Bercakap kepada pemberita di kompleks mahkamah Jalan Duta di sini pagi ini Tengku Muhammad Fakhry berkata, beliau hanya melaksanakan haknya sebagai seorang rakyat Malaysia demi keadilan.
Dalam tuntutannya, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa saman itu berkaitan dengan kejadian beliau ditahan di Istana Mahkota Kubang Kerian oleh polis pada 2009, daripada mengambil kereta Bentley Brooklands sebagaimana diminta oleh ayahanda Sultan Ismail Petra, ketika itu Sultan Kelantan, untuk ke Singapura.
Ia antara beberapa kes saman dibawa oleh putera sejak kebelakangan ini.
Laporan media semalam menyebut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 18 Januari depan untuk pengurusan kes saman fitnah Tengku Muhammad Fakhry terhadap akhbar Malay Mail dan tiga lagi berhubung satu artikel yang disiarkan akhbar tersebut.
Beliau menuntut antara lain ganti rugi RM50 juta kerana atrikel tersebut mengaitkannya dengan kes tembakan terhadap pengawal istana Ramli Mohamed pada 1 Mei tahun lalu.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh tersebut dalam kamar dengan dihadiri peguam AS Dhaliwal mewakili Tengku Muhammad Fakhry dan peguam Koh Chee Hong bagi pihak kesemua defendan. Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.