Ahad, 4 Disember 2011

Semua Berita Di Blog Dan Youtube Tidak Betul, Hanya Kata-Katanya Sahaja Yang Benar..... Betul Ke Wahai First Lady.

 ROSMAH  beramah mesra dengan ahli Kelab UMNO Luar Negara dalam satu pertemuan di PWTC, semalam.

Datin Seri Rosmah Mansor semalam meminta pelajar Malaysia di luar negara tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah pihak tertentu, termasuk serangan peribadi ke atas dirinya yang bertujuan melemahkan kerajaan.

Isteri Perdana Menteri berkata, semua tuduhan melalui laman sosial termasuk Youtube dan laman blog itu, tidak benar dan fitnah semata-mata.

Sebagai masyarakat berfikir, kita kena gunakan otak (berfikir) dan jangan terlalu mudah percaya. - Rosmah Mansor, Isteri Perdana Menteri

“Jangan percaya dengan perkara separuh benar atau fitnah. Sebagai masyarakat berfikir, kita kena gunakan otak (berfikir) dan jangan terlalu mudah percaya,” katanya selepas sesi pertemuan dengan 65 Ketua Kelab UMNO Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-62,di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Difahamkan pertemuan itu diadakan atas permintaan perwakilan kelab UMNO luar negara itu bagi mendengar penjelasan daripada Rosmah berhubung tuduhan dan fitnah dibuat pihak bertanggungjawab, khususnya di ruang siber.

Rosmah berkata, penjelasannya diterima baik perwakilan kelab UMNO luar negara, malah ada seorang daripada mereka yang meminta maaf kepadanya kerana menyedari semua tuduhan itu tidak benar.

Katanya, kesempatan itu juga digunakan untuk menerangkan mengenai program PERMATA yang dicetuskannya bagi membantu kanak-kanak di bandar dan luar bandar dalam melahirkan modal insan negara. 

Beliau juga meminta pelajar Malaysia di luar negara membabitkan diri dengan aktiviti kesukarelawanan di sana, selain diminta membawa pengalaman positif mereka kembali ke Malaysia untuk diterapkan di negara ini.

Pengerusi Kelab UMNO Solo, Indonesia, Mohd Nazaluddin Mat Nazir berkata Rosmah menjawab setiap soalan panas diajukan dengan sokongan fakta bagi menangkis tuduhan yang mempunyai motif politik untuk melemahkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Kami puas hati kerana setiap soalan dijawab Datin Seri Rosmah dengan fakta. Sekarang kami akan pulang dan jelaskan kepada rakan-rakan,” katanya.

Wakil Kelab UMNO Queensland, Australia, Muhammad Asyran Chik berkata, penjelasan itu memberi gambaran sebenar apa berlaku dan bukan berasaskan maklumat separuh lengkap, termasuk mengenai program dijalankan kerajaan. B.Harian

1 ulasan:

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.