Sabtu, 10 Disember 2011

Perlembagaan Persekutuan Malaysia : Jadual Kesepuluh.


Jadual Kesepuluh
 
[Perkara 109, 112C, 161C(3)]
Pemberian dan Sumber Hasil yang Diserahhakkan kepada Negeri
BAHAGIAN I
PEMBERIAN IKUT KEPALA

1. (1) Pemberian ikut kepala yang yang kena dibayar kepada setiap Negeri berkenaan dengan sesuatu tahun kewangan hendaklah mengikut kadar yang berikut:
(a) bagi 100,000 orang yang pertama mengikut kadar RM72.00 bagi tiap-tiap orang;
(b) bagi 500,00 orang yang berikutnya mengikut kadar RM10.20 bagi tiap-tiap orang;
(c) bagi 500,000 orang yang berikutnya mengikut kadar RM10.80 bagi tiap-tiap orang;
(d) bagi yang selebihnya mengikut kadar RM11.40 tiap-tiap orang,
dan hendaklah berdasarkan unjuran kependudukan tahunan bagi Negeri itu sebagaimana yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan dan dihitung menurut bancian kependudukan yang lalu:
Dengan syarat bahawa jika bancian yang lalu itu telah dijalankan satu tahun sebelum permulaan tahun kewangan, maka pemberian bagi tahun tertentu itu hendaklah berdasarkan kependudukan, sebagaimana yang ditentukan oleh bancian kependudukan itu.
(2) (Dimansuhkan).
BAHAGIAN II
PEMBERIAN JALAN NEGERI
2. Pemberian jalan Negeri yang kena dibayar kepada setiap Negeri Tanah Melayu berkenaan dengan sesuatu tahun kewangan hendaklah dihitung dengan mendarabkan—
(a) kos purata bagi sesuatu Negeri untuk menyenggarakan sebatu jalan Negeri mengikut standard minimum yang ditentukan bagi jalan-jalan Negeri di dalam Negeri yang berkenaan oleh Kerajaan Persekutuan selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara; dengan
(b) sekian panjang perbatuan jalan-jalan Negeri di dalam Negeri itu yang layak mendapat pemberian.
3. Bagi maksud seksyen 2—
(a) perbatuan jalan-jalan Negeri di dalam sesuatu Negeri ialah perbatuan jalan-jalan Negeri itu yang ada pada tiga puluh satu hari bulan Disember dalam tahun kewangan yang terdahulu, dan kos purata yang disebut dalam perenggan (a) seksyen itu ialah kos purata di dalam Negeri itu yang dihitung dalam tahun kewangan yang terdahulu; dan
(b) penyenggaraan jalan-jalan Negeri ertinya pemeliharaan, penjagaan dan pemulihan jalan-jalan Negeri, perabot tepi jalan, jambatan, jejambat atau pembetung yang menjadi sebahagian daripada jalan itu atau yang bersambung dengannya dengan seberapa hampir yang mungkin dengan keadaan asalnya sebagaimana yang dibina atau sebagaimana yang dibaiki kemudiannya.
4. Sesuatu batang jalan Negeri, jika jalan itu sebenarnya disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu mengikut standard minimum atau yang lebih tinggi daripadanya sebagaimana yang disebut dalam seksyen 2(a) dan sesuatu batang mana-mana jalan di dalam had kawasan sesuatu pihak berkuasa tempatan jika jalan itu diperakui oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu sebagai termasuk dalam standard kelayakan dan disenggarakan mengikut standard minimum atau yang lebih tinggi daripadanya sebagaimana yang disebut dalam seksyen 2(a) layak mendapat pemberian.
5. Dalam bahagian ini dalam Jadual ini. "jalan Negeri" ertinya mana-mana jalan awam, selain jalan persekutuan, dan mana-mana jalan lain, selain jalan persekutuan, yang boleh dilalui oleh orang ramai.
6. (1) Pemberian jalan Negeri yang kena dibayar kepada Sabah atau Sarawak dalam setiap tahun 1964 dan 1965 hendaklah dibayar mengikut kadar RM4,500 sebatu berkenaan dengan perbatuan di Sabah sepanjang 1,151 batu dan di Sarawak mengikut apa-apa amaun sebagaimana yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
(2) Selepas itu, seksyen 2 hingga 5 hendaklah terpakai bagi pemberian jalan Negeri yang kena dibayar sedemikian dengan ubah suaian yang berikut:
(a) standard minimum yang disebut dalam seksyen 2(a) ialah standard minimum yang ditentukan bagi jalan-jalan Negeri di dalam Negeri itu; dan
(b) mana-mana batang jalan yang disenggarakan oleh sesuatu pihak berkuasa tempatan atas perbelanjaan Negeri hendaklah dikira sebagai disenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri itu.
BAHAGIAN III
SUMBER HASIL YANG DISERAHHAKKAN KEPADA NEGERI
1. Hasil daripada kedai tuak.
2. Hasil daripada tanah, lombong dan hutan.
[1]3. Hasil daripada lesen-lesen selain lesen-lesen yang berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air kenderaan yang didorong secara mekanik, pepasangan elektrik dan pendaftaran perniagaan.
4. Duti hiburan.
5. Fi di dalam mahkamah, selain mahkamah persekutuan.
6. Fi dan terimaan berkenaan dengan perkhidmatan tertentu yang diberikan oleh jabatan-jabatan Kerajaan Negeri.
7. Hasil lembaga-lembaga bandaran, majlis-majlis bandaran, lembaga-lembaga luar bandar, majlis-majlis tempatan dan pihak-pihak berkuasa tempatan yang seumpamanya selain—
(a) perbandaran-perbandaran yang ditubuhkan di bawah mana-mana Ordinan Perbandaran;
(b) lembaga-lembaga bandaran, majlis-majlis bandaran, lembaga-lembaga luar bandar, majlis-majlis tempatan dan pihak-pihak berkuasa tempatan yang seumpamanya yang mempunyai kuasa di bawah undang-undang bertulis untuk memegang simpan hasilnya dan mengawal perbelanjaan hasilnya itu.
[2]8. Terimaan berkenaan dengan air mentah, termasuk kadar air mentah.
9. Sewa mengenai harta Negeri.
10. Bunga atas baki wang Negeri.
11. Terimaan daripada jualan tanah dan jualan harta Negeri.
12. Denda dan perlucuthakan di dalam mahkamah selain mahkamah persekutuan.
13. Zakat, Fitrah dan Baitulmal dan hasil agama Islam yang seumpamanya.
14. Harta karun.
BAHAGIAN IV
PEMBERIAN KHAS KEPADA NEGERI SABAH DAN SARAWAK
1. (1) Dalam hal Sarawak, pemberian sebanyak RM5,800,000 dalam setiap tahun.
(2) Dalam hal Sarawak, pemberian yang amaunnya dalam tahun 1964 dan setiap tahun selama empat tahun yang berikutnya ialah masing-masingnya RM3 1/2 juta, RM7 juta, RM11 1/2 juta dan RM21 juta, dan dalam tahun-tahun yang kemudiannya hendaklah ditetapkan mengikut satu kajian semula di bawah Perkara 112D.
2. (1) Dalam hal Sabah, pemberian yang amaunnya sama banyak dalam setiap tahun dengan dua perlima daripada amaun yang hasil bersih yang didapati oleh Persekutuan dari Sabah itu melebihi hasil bersih yang akan didapati sedemikian oleh Persektuan dalam tahun 1963 jika—
(a) Akta Malaysia telah berkuat kuasa dalam tahun itu seperti dalam tahun 1964; dan
(b) hasil bersih bagi tahun 1963 dihitung tanpa mengambil kira apa-apa perubahan mengenai apa-apa cukai atau fi yang dibuat pada atau selepas Hari Malaysia,
("hasil bersih" ertinya bagi maksud ini hasil yang terakru kepada Persekutuan, ditolak amaun yang diterima oleh Negeri berkenaan dengan penyerahhakkan hasil itu).
(2) Dalam hal Sabah, bagi mana-mana tahun sebelum 1968 yang dalamnya pemberian jalan Negeri yang kurang dari RM5,179,500, suatu tambahan kepada pemberian itu yang amaunnya sama banyak dengan kekurangan itu.
3. Dalam mana-mana satu hal, bagi mana-mana tahun sebelum tahun 1974 dan, jika pada permulaan tahun 1974 Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai pembawaan penumpang dan barangan mengikut jalan darat atau mengenai kenderaan jalan yang didorong secara makenik, maka dalam masa kuasa itu berterusan, suatu pemberian yang sama banyaknya dengan kos yang kena dibayar oleh Negeri itu dalam tahun itu bagi jabatan pengangkutan jalan Negeri itu.
BAHAGIAN V
SUMBER TAMBAHAN HASIL YANG DISERAHHAKKAN KEPADA NEGERI SABAH DAN SARAWAK
1. Duti import dan duti eksais atas keluaran pertroleum.
2. Duti eksport atas balak dan hasil hutan lain.
3. Selagi royalti yang dilevikan oleh Negeri ke atas apa-apa mineral yang boleh dikenakan duti eksport, selain timah (tetapi termasuk minyak mineral) tidak berjumlah 10 peratus ad valorem yang dihitung seperti bagi maksud duti eksport, duti eksport atas mineral itu atau apa-apa bahagian daripada duti eksport yang menjadikan jumlah royalti dan duti atas mineral yang dieksport hingga 10 peratus ad valorem yang dihitung sedemikian.
4. Dalam hal Sabah selagi perubatan dan kesihatan masih menjadi suatu butiran dalam Senarai Bersama dan perbelanjaan berkenaan dengan butiran itu ditanggung oleh Negeri itu, 30 peratus daripda segala hasil kastam selain hasil kastam berkenaan dengan duti-duti yang disebut dalam seksyen 1, 2 dan 3.
5. Bagi mana-mana tahun sebelum 1974 dan, jika pada permulaan tahun 1974 Badan Perundangan Negeri mempunayi kuasa untuk membuat undang-undang mengenai pembawaan penumpang dan barangan mengikut jalan darat atau mengenai kenderaan jalan yang didorong secara mekanik atau lesen-lesen berkaitan dengan kenderaan-kenderaan itu, maka, dalam masa kuasa itu berterusan, fi daripada lesen-lesen itu.
6. Bagi mana-mana tahun sebelum tahun 1974, dan jika pada permulaan tahun 1974 Badan Perundangan Negeri mempunayi kuasa membuat undang-undang mengenai pendaftaran kenderaan yang didorong secara mekanik, maka dalam masa kuasa itu berterusan, fi daripada pendaftaran kenderaan-kenderaan itu.
7. Cukai-cukai jualan Negeri.
8. Fi dan dius daripada pelabuhan, selain pelabuhan persekutuan.
9. Terimaan berkenaan dengan bekalan dan perkhidmatan air, termasuk kadar air.
10. Hasil daripada lesen yang berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.