Rabu, 7 Disember 2011

Perlembagaan Persekutuan Malaysia : Jadual Keenam Dan Ketujuh.


Jadual Keenam
 
[Perkara 43(6), 43B(4), 57(1A)(a), 59(1), 124, 142(6)]
Bentuk Sumpah dan Ikrar

1. Sumpah Jawatan dan Setia
"Saya,............................................................, setelah dipilih (atau dilantik) memegang jawatan ............................................................... dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."
(CATATAN—Seseorang hakim Mahkamah Peresekutuan, selain Ketua Hakim Negara, seorang hakim Mahkamah Rayuan atau seseorang hakim Mahkamah Tinggi atau seseorang pesuruhjaya kehakiman hendaklah menggunakan perkataan "kewajipan-kewajipan kehakiman saya dalam jawatan itu" sebagai ganti perkataan "kewajipan-kewajipan jawatan itu".)
2. Sumpah sebagai Ahli Parlimen dan Sumpah Setia
"Saya,........................................................................................, setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segalaupaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."
3. Sumpah Simpan Rahsia
"Saya,..............................................................................., dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada mana-mana orang sama ada secara lansung atau secara tidak lansung ap-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan saya ketahui sebagai seorang ................................................................... kecuali sebagaimana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sewajarnya kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagaimana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong."

Jadual Ketujuh

 [Perkara 45]
Pemilihan Ahli-Ahli Dewan Negara
1. (1) (Dimansuhkan).
(2) Setiap kali berlaku kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara yang dipilh oleh Negeri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memberikan notis kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu bahawa ahli Dewan Negara dikehendaki dipilih, dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri itu hendaklah menghendaki Dewan Undangan memilih seorang ahli Dewan Negara dengan seberapa segera yang boleh.
2. (1) Nama calon untuk dipilih hendaklah dicadangkan dan disokong oleh ahli-ahli Dewan Undangan dan ahli yang mencadangkan atau ahli yang menyokong itu hendaklah mengemukakan suatu pernyataan secara bertulis, ditandatangani oleh orang yang dinamakan itu bahawa dia bersetuju untuk berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara jika dipilih.
(2) Apabila semua penamaan telah diterima, pegawai pengerusi hendaklah mengumumkan nama orang yang dinamakan itu mengikut susunan abjad dan kemudiannya hendaklah mengemukakan nama mereka mengikut susunan itu untuk diundi.
(3) Setiap ahli yang hadir berhak mengundi sebanyak bilangan calon yang ada mengikut bilangan kekosongan yang akan diisi, dan nama ahli yang mengundi setiap calon hendaklah direkodkan; dan jika mana-mana ahli membuang undi sebagai tambahan kepada undi yang dibenarkan oleh subseksyen ini, maka undi itu adalah tidak sah.
(4) Pegawai pengerusi hendaklah mengisytiharkan sebagai terpilih calon atau calon-calon yang mendapat bilangan undi yang terbanyak, tetapi jika dua orang calon atau lebih mendapat bilangan undi yang sama banyak dan bilangan calon itu lebih besar daripada bilangan kekosongan yang akan diisi, maka pemilihan calon itu hendaklah ditentukan dengan cara cabut undi.
3. Walau apa pun apa-apa jua dalam seksyen 2, jika suatu kekosongan yang disebabkan oleh habis tempoh jawatan ahli Dewan Negara akan diisi pada mesyuarat yang sama dengan sesuatu kekosongan yang berlaku dengan apa-apa cara lain, maka pemilihan hendaklah pertama-tamanya diadakan untuk mengisi kekosongan yang disebabkan oleh habis tempoh jawatan itu dan kemudiannya suatu pemilihan yang berasingan untuk mengisi kekosongan yang lain itu.
4. Pegawai pengerusi hendaklah memperakui kepada Setiausaha Dewan Negara, melalui surat yang ditandatangani sendiri oehnya, nama orang yang dipilih sebagai ahli Dewan Negara mengikut peruntukan Jadual ini.
5. Jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli Dewan Negara telah diplih dengan sewajarnya mengikut peruntukan Jadual ini, maka Dewan Negara hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad, tetapi kegagalan mengadakan sesuatu pemilihan di bawah seksyen 1(2) dengan seberapa segera yang boleh tidaklah dengan sendirinya menidaksahkan pemilihan mana-mana ahli Dewan Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.