Selasa, 6 Disember 2011

Perlembagaan Persekutuan Malaysia : Jadual Keempat Dan Kelima.


 Jadual Keempat

[Perkara 37]

Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong
BAHAGIAN I
SUMPAH BAGI YANG DI-PERTUAN AGONG


Kami .......................................................... ibni .............................................. Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.
BAHAGIAN II
SUMPAH BAGI TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG
Kami ..................................................... ibni ....................................... yang telah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
dan dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan tanggungan Kami yang telah ditetapkan dan yang akan ditetapkan pada suatu masa ke suatu masa yang ke hadapan ini oleh undang-undang dan Perlembagaan Negeri Malaysia.
BAHAGIAN III
TERJEMAHAN DALAM BAHASA INGGERIS
We .......................................................... ibni ................................................... Yang di-Pertuan Agong of Malaysia do hereby swear:
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
and by virtue of that oath do solemnly and truly declare that We shall justly and faithfully perform (carry out) our duties in the administration of Malaysia in accordance with its laws and Constitution which have been promulgated or which may be promulgated from time to time in the future. Further We do solemnly and truly declare that We shall at all time protect the Religion of Islam and uphold the rules of law and order in the Country.
We ..................................................... ibni ...................................................... being elected to be the Timbalan Yang di-Pertuan Agong of Malaysia do hereby swear:
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
and by virtue of that oath do solemly and truly declare that We shall faithfully perform (carry out) our duties as Timbalan Yang di-Pertuan Agong as laid down and may from time to time be laid down by the laws and the Constitution of Malaysia.

Jadual Kelima

[Perkara 38(1)]
Majlis Raja-Raja
1. Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Jadual ini, Majlis Raja-Raja hendaklah terdiri daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua bagi Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja.
2. Tempat Duli Yang Maha Mulia Raja mana-mana Negeri atau tempat Yang di-Pertua Negeri mana-mana Negeri sebagai anggota Majlis Raja-Raja boleh dalam apa-apa hal yang dalamnya Perlembagaan Negeri itu memperuntukkan sedemikian diambil oleh mana-mana orang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan itu.
3. Majlis Raja-Raja hendaklah mempunyai suatu Mohor Besar Raja-Raja, yang hendaklah disimpan dalam jagaan seseorang yang dilantik oleh Majlis itu.
4. Orang yang dilantik di bawah seksyen 3 hendaklah dikenali sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, hendaklah bertindak sebagai setiausaha Majlis Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatannya selama diperkenankan oleh Majlis itu.
5. Majoriti anggota Majlis Raja-Raja hendaklah membentuk kuorum dan, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, Majlis itu boleh menentukan tatacaranya sendiri.
6. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak kurang daripda tiga orang anggota Majlis itu dan, dengan tidak dikehendaki berbuat demikian, tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan apabila berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau dalam jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
7. Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja tidaklah boleh menjadi anggota Majlis Raja-raja bagi maksud apa-apa prosiding yang berhubungan dengan pemilihan atau pemecatan Yang di-Pertuan Agong atau pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau yang berhubungan semata-mata dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama.
8. Dalam apa-apa hal jika Majlis Raja-Raja tidak sebulat suara, Majlis Raja-Raja hendaklah mengambil keputusannya mengikut majoriti anggota yang mengundi, tertakluk bagaimanapun kepada peruntukan Jadual Ketiga.
9. Apa-apa persetujuan, perlantikan atau nasihat Majlis Raja-Raja yang dikehendaki di bawah Perlembagaan ini hendaklah ditandai dengan Mohor Besar Raja-Raja; dan jika, dalam hal apa-apa perlantikan yang dicadangkan, majoriti anggota Majlis itu telah menunjukkan, melalui surat yang ditujukan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, bahawa mereka menyokong perlantikan itu, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah menandai sedemikian nasihat Majlis itu dengan tidak memanggilnya bermesyuarat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.