Sabtu, 3 Disember 2011

Perlembagaan Persekutuan Malaysia : Jadual Kedua Bahagian II



BAHAGIAN II
[Perkara 14(1)(b)]
KEWARGANEGARAAN MELALUI KUAT KUASA UNDANG-UNDANG BAGI ORANG YANG LAHIR PADA ATAU SELEPAS HARI MALAYSIA

1. Tertakluk kepada peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini, orang yang berikut yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
(a) tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan; dan
(b) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan sama ada telah lahir di Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan sesuatu Negeri; dan
(c) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan dalam masa satu tahun selepas kelahiran itu berlaku atau dalam masa apa-apa tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutaun dalam mana-mana hal tertentu, kelahiran itu didaftarkan di suatu konsulat Persekutuan atau, jika kelahiran itu berlaku di Brunei atau du sesuatu wilayah yang ditetapkan bagi maksud ini melalui perintah Yang di-Pertuan Agong, didaftarkan dengan Kerajaan Persekutuan; dan
(d) tiap-tiap orang yang lahir di Singapura dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan orang itu pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara selain menurut kuasa perenggan ini; dan
(e) tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini.
2. (1) Seseorang bukanlah warganegara menurut kuasa perenggan (a), (b) atau (e) seksyen 1 jika, pada masa dia lahir, bapanya, yang bukan seorang wargenegara, mempunyai apa-apa kekebalan daripada guaman dan proses undang-undang sebagaimana yang diberikan kepada utusan sesuatu kuasa berdaulat yang diwatikahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, atau jika bapanya ketika itu seorang orang asing musuh dan kelahiran itu berlaku di suatu tempat di bawah pendudukan musuh.
(2) Dalam seksyen 1, sebutan dalam perenggan (b) mengenai seseorang yang lahir di Persekutuan termasuklah kelahiran sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak.
(3) Bagi maksud perenggan (e) seksyen 1, seseorang akan dikra sebagai mempunyai, pada masa dia lahir, apa-apa kewargenegaraan yang diperolehnya dalam masa satu tahun kemudiannya menurut kuasa mana-mana peruntukan yang bersamaan dengan perenggan (c) seksyen itu atau selainnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.