Jumaat, 16 Disember 2011

Hasan Ali: ‘Pemimpin PAS Harus Berlapang Dada Dan Berjiwa Besar’


Datuk Dr Hasan Ali sambil menafikan penglibatan Umno berhubung segala isu melibatkan diri beliau yang kini menjadi polemik di kalangan pemimpin utama PAS, mahu parti itu “berlapang dada dan berjiwa besar.”
Sehubungan itu, bekas pesuruhjaya PAS Selangor ini menasihatkan pemimpin-pemimpin partinya berhenti membuat tohmahan sedemikian dan jangan berfikiran tertutup.
“Janganlah berfikiran tertutup dan simplistik sehingga segala-galanya dijuruskan kepada agenda Umno tanpa memberikan bukti,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Hasan mengeluarkan reaksi itu ekoran kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam yang menyifatkan Hasan dan bekas timbalan presiden parti itu Nasharudin Mat Isa sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan parti Islam itu.
Juga semalam, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata Hasan boleh keluar PAS dan menyertai Umno jika beliau mahu.
Mustafa berkata, Hasan yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan Nasharudin bertindak tidak wajar sebagai pemimpin parti.
“Saya buat kesimpulan, mereka berdua terheret dengan agenda (Umno) yang boleh menjejaskan parti. Sama ada mereka sedar atau tidak sedar, mereka sebenarnya terperangkap dalam agenda musuh politik PAS.
“Ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS walaupun tidak memberikan kesan besar bagi parti,” kata beliau.
Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor pada Isnin lalu juga secara terbuka mengumumkan kesediaan menerima jemputan daripada perdana menteri untuk membincangkan usaha menyatupadukan PAS dan Umno.
Katanya, beliau akan berbuat demikian dengan menggunakan Islam sebagai teras.
Nasharudin dalam kenyataan terbaru kepada Berita Harian berhubung isu calon pilihan raya mendakwa PAS semakin pelik sejak kebelakangan ini.
Hasan juga berkata kenyataan dan pendirian pemimpin-pemimpin PAS bukan satu masalah kepadanya, sebaliknya menjadikan beliau lebih kental untuk terus berjuang atas nama Islam dan Melayu.
Hasan juga berkata, pemimpin-pemimpin PAS harus berlapang dada dan berjiwa besar menghormati pandangan serta pendapat sesama pemimpin demi kelangsungan perjuangan parti.
“Saya tetap setia dan akan terus setia kepada dasar perjuangan parti sebagai harakah Islamiah dan bukan parti politik semata-mata,” katanya lagi.

PAS Selangor ‘amat yakin’ Hasan Ali tidak akan keluar parti
PAS Selangor “berkeyakinan tinggi” Datuk Dr Hasan Ali, yang menjadi tumpuan arena politik tempatan sekarang dan desas-desus bahawa akan menyertai Umno, tidak akan keluar parti Islam itu.
Pesuruhjayanya Dr Abdul Rani Osman berkata, walaupun Umno kelihatan sedang cuba memerangkap Exco
Kerajaan Negeri Selangor itu, tetapi sangat yakin beliau akan kekal bersama PAS.
“Saya berkeyakinan beliau (Hasan) tidak akan keluar,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Meru ini kepada The Malaysian Insider tengah hari ini.
“Apa yang kita nampak ialah ada usaha Umno untuk memerangkap, kita tengok laporan mereka di akhbar dan TV3. Tetapi saya yakin beliau tidak akan terperangkap dengan taktik kotor yang cuma dibawa oleh Umno,” kata beliau.
Dr Rani dilantik menggantikan Hasan (gambar) sebagai pesuruhjaya PAS Selangor selepas muktamar tahunan dan pemilihan pusat Jun lalu.
Bagaimanapun Dr Rani menjelaskan, sekiranya Hasan masih memutuskan untuk keluar PAS kelak, ia pasti akan merugikan pemimpin tersebut.
“Secara peribadi, saya rasa beliau tidak akan keluar. Tetapi jika, jika beliau keluar, katakan beliau keluar, (kalau nak keluar) itu hak beliau... perlembagaan tidak menghalang sesiapa dan jika beliau keluar, ia akan merugikan beliau.
“PAS pernah melalui pengalaman presiden, naib presiden keluar parti, tetapi ia hanya merugikan mereka. PAS terus bergerak, berkembang kukuh,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.
“Saya kenal Datuk Hasan, malah beliau sendiri pernah menawarkan jawatan exco hal ehwal agama kepada saya (pada 2008), tetapi saya menolak... jadi, saya masih berkeyakinan tinggi yang beliau tidak akan keluar PAS, beliau kata memperjuangakn Islam, PAS pun memperjuangkan Islam,” kata Dr Rani sambil menambah, beliau telah melantik dua orang dari badan perhubungan negeri untuk mengadakan perbincangan dengan Hasan.
“Malah saya pun sudah menghubungi kepimpinan PAS pusat mengadakan perbincangan dengan Datuk Hasan dan juga (bekas timbalan presiden) Nasharudin Mat Isa bagi mendengar suara mereka dan menyelesaikan isu semasa ini,” kata beliau lagi.
Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan Hasan  dan Nasharudin sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan parti Islam itu.
Malah dalam satu kenyataan semalam, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Hasan boleh keluar PAS dan menyertai Umno jika beliau mahu.
Mengulas kenyataan Mustafa, Hasan dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia hari ini menafikan penglibatan Umno berhubung segala isu melibatkan diri beliau yang kini menjadi polemik di kalangan pemimpin utama PAS, mahu parti itu “berlapang dada dan berjiwa besar.”
Sehubungan itu, bekas pesuruhjaya PAS Selangor ini menasihatkan pemimpin-pemimpin partinya berhenti membuat tohmahan sedemikian dan jangan berfikiran tertutup.
“Janganlah berfikiran tertutup dan simplistik sehingga segala-galanya dijuruskan kepada agenda Umno tanpa memberikan bukti,” katanya.
Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor pada Isnin lalu juga secara terbuka mengumumkan kesediaan menerima jemputan daripada perdana menteri untuk membincangkan usaha menyatupadukan PAS dan Umno.
Katanya, beliau akan berbuat demikian dengan menggunakan Islam sebagai teras.
Nasharudin dalam kenyataan kepada Berita Harian semalam berhubung isu calon pilihan raya mendakwa PAS semakin pelik sejak kebelakangan ini.MInsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.