Selasa, 29 November 2011

Isa Samad: ‘Saya tidak akan minta maaf, tak gentar disaman’

Tan Sri Isa Samad menegaskan beliau tidak akan meminta maaf kepada Shamsuddin Othman yang mendakwa Pengerusi Felda itu telah menghina beliau selaku ketua peneroka pada satu majlis di Negeri Sembilan pertengahan bulan ini.
Isa (gambar) yang mengetuai Felda sejak setahun lalu berkata, beliau tidak peduli dengan ugutan Shamsuddin yang mahu beliau meminta maaf dalam masa 14 hari atau menghadapi tindakan saman.
“Saman-menyaman ini adalah perkara biasa. Ada anak saman ayah, dan macam macam saman di mahkamah. Saya tidak gentar jika beliau mahu saman saya,” kata beliau kepadaThe Malaysian Insider selepas majlis taklimat Presiden Umno di sini petang ini.
Shamsuddin, yang juga ahli lembaga pengarah Felda memberi masa 14 hari kepada Isa yang didakwa mengeluarkan kata-kata menghina beliau dalam satu taklimat di Kuala Pilah 12 November lalu.
Shamsuddin berkata kenyataan menghina pemimpin Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda, selaku ketua kepada para peneroka, dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu” dan “jika saya jumpa saya akan lutu dia”, tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Isa selaku pengerusi agensi kemajuan tanah persekutuan itu.
“Ini kali pertama seorang Pengerusi Felda mengeluarkan kata-kata menghina seorang ketua peneroka, bukan sahaja pemimpin peneroka, saya kira keseluruhan peneroka rasa terhina dengan kenyataan Tan Sri Isa,” kata beliau pada sidang media di sini semalam.
Rakaman ucapan Isa turut ditayangkan pada sidang media yang dihadiri oleh sembilan naib pengerusi JPP Wilayah dan Gerakan Persatuan Wanita.
Berdasarkan kandungan ucapannya, Isa didapati mendakwa bahawa Shamsuddin yang diturut dipanggil sebagai “Pas Sam” tidak faham-faham meskipun sudah berkali-kali dijelaskan mengenai proses penyenaraian Felda Global Ventures.
Shamsudin , 59, dari Felda Wilayah Johor Baru berkata, Isa mengeluarkan kenyataan itu ketika memberi taklimat mengenai penyenaraian Felda Global Ventures di Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November lalu.
“Saya akan lantik peguam dan akan memberi masa 14 hari kepada Isa agar meminta maaf. Oleh kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu secara terbuka, di khalayak ramai, maka saya mahu beliau meminta maaf secara terbuka di lima akhbar tempatan,” kata beliau lagi.
Menjelaskan taklimat presiden, Isa berkata Datuk Seri Najib Razak menyeru ahli-ahli Umno bersatu menjelang pilihan raya umum ini.
Katanya, beliau mahu BN menang besar dalam pilihan raya umum ke-13 sambil mengetepikan kepentingan diri jika tidak terpilih sebagai calon./MInsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana komen yang disiarkan kerana pihak kami tidak sesekali menapis setiap komen yang dilontarkan.